Wanita Ditahan Reman Tiga Hari

BACHOK – Seorang wanita berusia 28 tahun yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual kenderaan terpakai serta alat ganti kenderaan ditahan reman tiga hari bermula kelmarin.

Wanita itu ditahan pada jam 3 petang 29 April lalu ketika Ops Lusuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kerana disyaki memiliki tiga enjin kenderaan curi untuk dijual di premisnya di Kampung Sungai, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya menjalankan operasi berkenaan minggu lalu di beberapa kedai menjual dan membeli kenderaan terpakai serta alat ganti kenderaan di sekitar Bachok.

“Hasil semakan sistem kompol dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Link ke atas nombor enjin dan nombor casis ketiga-tiga enjin dimiliki wanita terbabit tiada dalam rekod.

“Pemilik kedai gagal mengemukakan dokumen pemilikan enjin selain didapati tidak mempunyai dokumen lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan itu,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 kerana gagal memberi keterangan munasabah dan tidak dapat mengemukakan dokumen yang sah.

“Operasi ini dijalankan sejak seminggu lalu bagi membanteras kegiatan curi dan kereta potong di daerah ini.

“Sehingga kini empat kedai menjual dan membeli kenderaan terpakai serta alat ganti kenderaan di Bachok sudah diperiksa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.