Video : Jangan Rekrut Anak Muda Kita Jadi Pengebom Berani Mati – KPN

Kuala Lumpur – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yakin undang-undang negara sedia ada mampu menangani ancaman kumpulan militan yang mula menular di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata undang-undang berkenaan bertambah kukuh setelah pindaan dibuat terhadap Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa baru-baru ini, selain prosedur khas untuk mencegahnya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita telah memberkas 11 anggota kumpulan militan yang kita percaya memberi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman negara.

“Ada beberapa lagi sasaran yang sedang kita pantau, dan kita akan tangkap (mereka) sedikit hari lagi,” katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu.

Beliau turut mengingatkan anak-anak muda supaya tidak terpengaruh dengan ajakan pihak tertentu untuk menyertai kumpulan militan mereka.

“Saya memberi peringatan kepada anak muda supaya jangan terikut dengan dakyah atau pujukan anggota-anggota kumpulan militan tetapi apa yang lebih penting kita perlu mengutamakan keselamatan negara dahulu,” katanya.

Beliau juga mengeluarkan amaran kepada kumpulan militan supaya tidak merekrut anak muda negara ini untuk menyertai kumpulan itu.

“Jangan cuba merekrut anak-anak muda kita untuk sama-sama menjadi pengebom berani mati dan sebagainya…jangan mengancam keselamatan rakyat dan negara kita. Bila ada unsur-unsur itu (mengancam keselamatan negara), kita akan bertindak,” tegas beliau.

Ketika ditanya pemberita berhubung pembabitan seorang lelaki bergelar ‘ustaz’ dan rakannya yang merupakan seorang anggota kumpulan muzik terkenal dalam kumpulan militan itu, Khalid berkata pihaknya tidak mahu menunding jari tetapi akan meneruskan siasatan terhadap sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

“Kita tidak mahu tumpukan kepada sesiapa atau tuduh siapa dalang kerana siasatan dijalankan terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan,” katanya.

Menurutnya PDRM turut mengenal pasti Syria dan Filipina sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian militan.

Pada 28 April lepas, sembilan individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 dan 55 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan militan ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.

Tiga daripada mereka ditahan di Kedah dan enam di Selangor.

Keesokannya, polis menahan seorang lagi anggota militan ditahan di sini dan seorang lagi ditahan di ibu negara petang semalam. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.