Seorang Lagi Militan Ditahan

KUALA LUMPUR 2 Mei – Polis menahan seorang lagi suspek yang terlibat dalam aktiviti militan di ibu negara petang semalam, ketika cuba melarikan diri ke negara jiran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tangkapan terbaharu di Segambut pada pukul 3.50 petang itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini ialah seramai 11 orang.

Menurut beliau, dengan tangkapan tersebut, pihak polis akan terus menjejaki saki baki militan, khususnya mereka yang bertopengkan Islam atau organisasi yang menggunakan asas misi kemanusiaan untuk melatih militan.

“Polis akan maklumkan maklumat lengkap suspek yang ditahan itu termasuk dakwaan kaitannya dengan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Ne­geri (ISA). Tetapi itu (jumlah 11 tangkapan) bukan muktamad. Kita sedang menjejaki saki baki yang terdapat dalam senarai polis. Mereka (kumpulan militan) kini telah mula khuatir dengan tindakan-tindakan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pada 28 April lalu, polis menahan sembilan anggota kumpulan militan yang berselindung di sebalik misi kemanusiaan termasuk ketuanya dalam beberapa serbuan di Selangor dan Kedah dan kesemua suspek berusia 22 hingga 55 tahun itu dikatakan bersiap sedia untuk ‘berjihad’ di negara-negara bergolak.

Kesemua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan mereka disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan akan berusaha mengekang aktiviti militan di negara ini dan tidak akan membenarkan Malaysia dijadikan pusat pengganas.

“Polis juga akan sedaya upaya menyekat mereka ini daripada merekrut ramai lagi pengikutnya, sama ada melalui media sosial, organisasi atau melalui individu. Saya nak beritahu, jihad itu satu istilah yang baik. Tetapi telah disalah guna, ini memburukkan imej Islam,” jelasnya.

Ditanya sama ada ahli kumpulan militan yang ditahan setakat ini mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, tegasnya, perkara itu akan sentiasa dipantau pihak berkuasa.

“Setakat ini tidak ada (kaitan). Tetapi, kita akan sentiasa pantau jika ada yang berlindung di bawah parti politik. Jika ada pun, mungkin individu atau anggota atau ahli parti berkenaan sahaja,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan kepada individu yang didakwa mengasari petugas media ketika perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ibu negara semalam.

“Pihak kementerian dan polis simpati kepada petugas media berkenaan yang telah dikasari dan kami akan mempertahankan petugas terbabit untuk siasatan dilakukan polis, bagi kami mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

“Jelas sekali penganjur gagal mengawal keadaan seperti yang telah dijanjikan dan tidak mengikuti syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.