Pulangkan Kitab Bible Buktikan JAIS Bersalah – Persatuan Bible Malaysia

Persatuan Bible Malaysia (PBM) yakin Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih enggan memulangkan bible yang dirampas daripada premis mereka empat bulan lalu kerana ia akan menunjukkan pihak berkuasa agama itu terpaksa mengakui kesilapan mereka.

‎”Memulangkan kitab Bible membuktikan Jais ‎salah apabila melakukan serbuan dan sitaan, termasuk menahan pegawai PBM, dan juga silap menterjemahkan undang-undang,” kata Presiden PBM, Lee Min Choon, dalam entri terbaru dalam blognya.

‎Beliau berkata pemulangan semula 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban ‎akan menjejaskan imej dan prestij Jais berkenaan isu tersebut.

“Terlalu banyak kesalahan telah dilakukan. Oleh itu, mereka fikir lebih baik simpan dahulu Bible dan memberitahu umum bahawa mereka menunggu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk berkata sesuatu, dengan harapan agar orang ramai melupakan isu tersebut,” katanya.

Pada 2 Januari, pegawai Jais dan anggota polis ‎menyerbu pejabat persatuan tersebut di Damansara Kim, Petaling Jaya, dan merampas 321 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Lee dan pengurus pejabat PBM, Sinclair Wong, ditahan dan dibawa ke balai polis. Mereka juga diminta untuk hadir di pejabat Jais beberapa hari selepas itu bagi merekodkan kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.