Penganalisis Politik Dakwa Himpunan Anti-GST Gagal

Shah Alam – Himpunan Bantah GST yang di adakan Khamis lalu gagal, kata penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

Lebih memalukan, himpunan yang bermula seawal jam 10 pagi itu dilihat tersasar matlamat apabila pemimpin pembangkang melaungkan kata-kata keramat mempertahankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kini berdepan dengan hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Walhal peserta himpunan itu seharusnya diberi input mengenai GST atau cukai barangan dan perkhidmatan pada kemuncak acara itu, kata Atory.

Tambahnya, penat lelah peserta seharian berarak di jalan raya tidak berbaloi apabila tiada seorang pun di kalangan pemimpin pembangkang benar-benar fokus kepada isu GST.

“Hasilnya tiada apa, tujuan nak cakap hal Anwar sebenarnya tapi menggunakan platform GST. Kalau nak bercakap hal Anwar sahaja mungkin peserta tak dapat datang. Kena sebut GST, ini adalah agenda Anwar untuk raih simpati rakyat.

“Supaya dapat simpati dari peserta supaya membela Anwar. Pada saya himpunan kali ini gagal, tidak ada apa-apa.

Semasa berucap di hadapan lebih 10,000 peserta Himpunan Bantah GST, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dipetik memberi amaran kepada kerajaan Persekutuan agar tidak ‘menyentuh’ Anwar.

Begitu juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mendakwa keadilan untuk Anwar seolah-olah tidak ada di negara ini akibat kegagalan sistem perundangan negara.

Sementara Anwar sendiri menggunakan pentas itu untuk menyatakan ‘kejantanannya’ untuk menerima apa sahaja bentuk hukuman daripada kerajaan Persekutuan atas tuduhan yang di hadapinya kini.

Dalam pada itu, Atory yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia itu menyatakan rasa terkilannya apabila peserta yang menyertai himpunan itu gagal memahami maksud sebenar GST.

“Saya ingat perhimpunan kali ini gagal kerana sasaran peserta tidak sebanyak yang mereka jangkakan, isu sebenarnya (GST) tidak difahami dengan betul oleh peserta malah ia pun belum lagi dilaksanakan,” kata Atory.

Namun begitu, Atory yakin kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berdiam diri begitu sahaja kerana terdapat inisiatif lanjutan untuk memberi kefahaman kepada rakyat.

“Dengan perhimpunan ini, pada saya kerajaan akan cuba memperhalusi perlaksanaan GST. Kita lihat Datuk Ahmad Maslan sendiri telah mengumumkan menambah bilangan penceramah Umno di seluruh negara untuk menerangkan GST kepada rakyat, itu satu langkah yang baik. Para penceramah tersebut diberikan kursus,” katanya lagi.

Parlimen sebelum ini meluluskan rang undang-undang pelaksanaan GST dan ia dijadulkan berkuat kuasa April 2015. – AP

One thought on “Penganalisis Politik Dakwa Himpunan Anti-GST Gagal

  • May 3, 2014 at 11:13 pm
    Permalink

    biasa la prof…bila kita hendak buat sesuatu perkara pasti akan ada pro dan kontra…yang penting kita membuat pilihan yang betul…jika tersalah buat pilihan tentu akan menerima kritikan…rakyat akan memerhati apa yang pemimpin buat…pemimpin pula perlu mendengar pandangan rakyat…to build a nation need unity!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.