Pemilihan PKR : Azmin Enggan Ulas Dakwaan Tipu Undi

Butterworth – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali enggan mengulas dakwaan beliau terlibat dengan perbuatan memanipulasi undi dalam pemilihan parti itu yang berlangsung sekarang.

Ahli Parlimen Gombak itu sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR untuk menyiasat dakwaan terbabit dan berharap individu terlibat dikenakan tindakan tegas.

“Buat masa sekarang, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai dakwaan berkenaan, biar Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang siasat perkara itu.

“Hendak siku boleh, tapi janganlah sampai jatuh,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan anggota PKR Pulau Pinang di Butterworth, hari ini.

Pemilihan PKR, yang bermula Sabtu lepas, dicemari pelbagai insiden seperti bekalan elektrik terputus, dakwaan manipulasi undi, perubahan lokasi mengundi pada saat akhir dan masalah teknikal.

Keadaan menjadi semakin panas apabila seorang pemimpin PKR Badrul Hisham Shahrin mendakwa kumpulan penyokong Azmin memanipulasi undi.

Ketika ini, Azmin mendahului dua pencabarnya apabila memperoleh 5,111 undi berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322).

Azmin berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan berhubung nasibnya dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Saya mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Kita lihat perkembangannya sehingga pemilihan berakhir (11 Mei ini),” katanya. – TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.