Ada Kumpulan Dalam PAS, Tolak Hudud Kelantan – Hanipa Maidin

Kuala Lumpur – Walaupun PAS menyatakan dengan jelas niatnya melaksanakan hudud di Kelantan, terdapat kumpulan dalam parti itu yang menentangnya, kata seorang ahli panel dalam satu forum mengenai hukum Islam itu, malam tadi.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud perlu ditangguhkan‎ sehingga rakyat Malaysia benar-benar bersedia menerima undang-undang Islam tersebut.

“Pandapat saya, hudud bukan merupakan keutamaan. Bagaimanapun sebagai pemimpin saya kena mempertahankan agenda politik parti,” katanya pada satu forum “hudud@Malaysia?” bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) di Kuala Lumpur semalam.

Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan pelaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan merupakan kemahuan rakyat di negeri itu sendiri yang memberi mandat kepada PAS untuk merealisasikan undang-undang Islam tersebut.

“Hudud inilah yang dimahukan rakyat Kelantan, mereka memberi mandat kepada PAS jadi kerajaan negeri dengan menggunakan demokrasi,” katanya.

Hanipa turut menangkis kritikan ‎ daripada Pengarah Eksekutif Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, yang mendakwa pelaksanaan hudud di Kelantan bertujuan mendiamkan suara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Hanipa yang merupakan seorang peguam, berkata PAS tidak pernah membuat keputusan melaksanakan hudud bagi mendiamkan pendapat rakyat, bahkan parti Islam itu terbuka dalam menerima kritikan daripada rakan Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

“Kita juga terbuka dalam menerima semua pendapat termasuk rakan kita DAP. Bagi PAS, semua pihak berhak mengemukakan apa yang dirasakan dan kita hormati suara mereka. Jadi kami juga berharap anda juga menghormati hasrat PAS dan rakyat Kelantan,” katanya di hadapan kira-kira 200 orang yang menghadiri forum tersebut.

Selain Hanipa dan Dr Farouk, forum tersebut turut menampilkan peguam, Syahredzan Johan, dan penasihat perundangan ‘Save Sarawak River’ Abun Sui Anyit daripada Sarawak.

Rang undang-undang persendirian (hukum hudud) yang bakal dibentangkan PAS bertujuan mendapatkan kuasa daripada Parlimen untuk membenarkan Kelantan mewujudkan undang-undang perkara jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan.

Ia juga ingin meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, di mana hukuman maksima dihadkan kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan diganti.

Sebaliknya, ia mahu kuasa menjatuhkan hukuman bunuh, sebatan dan potong tangan bagi jenayah mengikut hudud diberikan kepada Kelantan.

Dr Ahmad Farouk Musa mempertikaikan tindakan kerajaan Kelantan membuat lawatan ke Brunei yang bakal melaksanakan hudud, dan berkata ia perlu menghantar wakil ke New Zealand untuk mempelajari kejayaannya menangani jenayah.

Seorang lagi panelis, Dr Farouk dari IRF mempertikaikan hukum hudud kerana di dalam al-Quran tidak tertulis hukuman bagi kesalahan zina dan murtad.

Beliau mempersoalkan adakah dengan pelaksanaan undang-undang Islam itu dapat mengurangkan jenayah seperti didakwa PAS Kelantan.

Dr Farouk membentangkan senarai 10 negara paling selamat di dunia, tetapi Arab Saudi, negara yang mengguna pakai undang-undang hudud, berada di kedudukan ke 131.

‎”Keadilan dan kesaksamaan sentiasa menjadi mesej jelas dalam negara Islam, bagaimanapun statistik yang didedah membuktikan sebaliknya,” katanya.

‎Menurut Dr Farouk, ‎daripada kerajaan Kelantan membelanjakan puluhan ribu ringgit menghantar delegasi ke Brunei bagi memahami pelaksanaan hudud, PAS perlu menghantar wakil mengkaji urus tadbir kerajaan yang baik di negara paling selamat di dunia, iaitu New Zealand.

Beliau turut mencabar pemimpin PAS untuk bertemu dengan raja dan sultan untuk mendapatkan sokongan mengenai hudud kerana golongan monarki dilihat berada di atas undang-undang.

Syahredzan pula mempersoalkan, biarpun hudud hanya tertakluk kepada masyarakat Islam dan perbicaraan hanya akan diadakan di Mahkamah Syariah, apakah negeri mempunyai kuasa perundangan untuk membicarakan kes jenayah daripada Putrajaya.

“Parlimen tidak boleh memberi kuasa kepada kerajaan negeri di mana ia akan dipisahkan kepada dua perundangan jenayah‎.,” kata beliau.

Syahredzan berkata sekiranya Perlembagaan dipinda bagi membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan mengganggu struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Sementara Abun daripada Sarawak berkata, rakyat Malaysia tidak bersedia dengan pelaksanaan hukum hudud kerana faktor penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya di negara ini.

“‎Perjanjian yang dipersetujui Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia akan tercemar sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju untuk meminda Perlembagaan untuk melaksanakan hudud,” katanya. – TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.