4 Rumah Setinggan Hangus Terbakar, Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

Kuala Lumpur – Malang tidak berbau. Itu nasib 4 keluarga, termasuk lapan keluarga Cina, tinggal sehelai sepinggang apabila lapan buah rumah setinggan terbakar di Kampung Kovil Hilir, Batu 2 1/2 Jalan Ipoh, di sini terbakar tengah hari tadi.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, terdapat keluarga yang baru menerima gaji pada akhir bulan lalu tidak sempat menikmatinya bersama keluarga apabila wang hasil daripada titik peluh mereka yang disimpan di dalam rumah turut terbakar.

Seorang dikenali S.Thilagavani, 25, berkata, ketika kejadian beliau bersama suami dan dua anaknya, masing-masing berusia lima tahun dan lima bulan, keluar makan tengah hari di restoran Cina berhampiran kediamannya itu sebelum melihat kepulan asap tebal.

“Saya terkejut selepas melihat kepulan asap hitam dari kawasan perumahan saya dan bergegas ke lokasi dan mendapati dua deretan rumah terbakar.

“Saya bersama emak cuba memasuki rumah untuk mengeluarkan barang yang ada namun angin kuat beserta cuaca panas terik menyebabkan api merebak begitu pantas ke seluruh rumah. Kami hanya mampu menyelamatkan diri dan segala harta benda bernilai RM30,000 termasuk wang gaji suami saya sebanyak RM5,000 yang baru diterima pagi tadi hangus,” kata suri rumahtangga itu.

Seorang lagi mangsa, Poh Sew Lin, 54, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama anak perempuan yang berusia 30 tahun serta dua cucunya yang berusia lima tahun dan lapan bulan.

“Rumah saya dijilat api dan saya tidak berdaya melakukan apa-apa kerana api pantas merebak. Namun saya sempat menjerit meminta tolong sambil berlari keluar dari rumah bersama anak dan dua cucu.

“Kami hanya mampu mengambil dokumen pengenalan diri dan tidak sempat mengeluarkan harta benda yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000.

Jurucakap Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang ditemui di lokasi kejadian berkata, kesemua keluarga terjejas akan dipindah dan ditempatkan di Dewan Komuniti Orang Ramai Bandar Baru Sentul dan bantuan akan disalurkan kepada mangsa terlibat.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, bomba menerima panggilan pada pukul 12.57 tengah hari ini dan lapan jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

“Kami berjaya mengawal kebakaran dalam masa setengah jam dan kebakaran berjaya dipadamkan dalam masa dua jam dan siasatan sedang dijalankan,” katanya yang menghadapi kesukaran berikutan tiada pili bomba yangterletak berhampiran.

Menurutnya, pihaknya mendapat kerjasama daripada penduduk kawasan itu yang membantu memadamkan apa dengan menggunakan sumber air yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kebakaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.