PPBM Selangor Tak Sabar Tunggu Agihan Kerusi DUN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor mendesak pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) menyegerakan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Ketua Penerangan PPBM negeri, Sallehuddin Amiruddin berkata, tindakan itu bagi membolehkan pihaknya menyenaraikan calon yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

“Parti tidak boleh nak hantar lagi nama calon untuk bertanding kerusi DUN pada PRU-14 ini sebab kita belum tahu berapa kerusi yang PPBM negeri akan dapat.

“Sebelum ini kita memang minta 12 kerusi DUN di Selangor tetapi tidak semestinya kita akan dapat jumlah yang diminta, mungkin kerusi yang kita dapat kurang daripada jumlah itu,” katanya pada sidang media di Shaha Alam, hari ini.

Pada masa sama, Sallehuddin seperti tidak lagi mempertahankan keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu tetap mahu bertanding di 12 kerusi DUN yang kini disandang Barisan Nasional (BN).

Beliau sebaliknya menegaskan, semua keputusan itu tertakluk kepada rundingan yang dilakukan semua parti.

“Pada 8 Februari lalu, memang PPBM ada sebut nak 12 kerusi tetapi yang memuktamadkan keputusan itu ialah Pengerusi PH negeri.

“Jika sebut 12 kerusi, tidak semestinya dapat 12. Kalau nak 10 tak semestinya dapat 10, mungkin dapat 12 atau 13 atau 14 kerusi.

“Apabila kerusi itu dikehendaki parti lain, kita harap berlaku penukaran kerusi berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Sallehuddin menegaskan PPBM tidak akan bertolak ansur atau memberi kerusi kepada PKR yang juga berhasrat meletakkan calon di 12 kerusi itu.

Sementara itu, beliau mengesahkan PPBM akan bertanding di tiga kerusi Parlimen negeri ini termasuk Tanjung Karang yang kini disandang Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Katanya, dua lagi kerusi Parlimen yang akan diisi calon PPBM ialah Parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam.

“Kita diminta meletakkan tiga nama untuk setiap Parlimen itu dan kita sudah serahkan kepada pimpinan PH,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.