Wanita Maut, Kereta Bertembung Lori

Parit Buntar – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan lori di Jalan Ipoh Butterworth, berhampiran Sungai Rawa, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar Penolong Penguasa Bomba Muhammad Nor Amin Abd Mubin berkata, pihaknya yang menerima panggilan dari orang awam pada jam 9.41 pagi, segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati seorang mangsa wanita tersepit di bahagian pemandu kereta Perodua Myvi yang dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori satu tan.

“Sepasukan anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba (PB) Abd Wahid Halin menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dibahagian pemanduan dengan menggunakan kit keselamatan.

“Sejurus berjaya dikeluarkan mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 10.18 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, sumber polis berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Nur Fatin Mohd Narzeri, 25, berasal dari Bagan Tiang, Tanjung Piandang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.