Kontroversi Bekas Penasihat Trump

WASHINGTON – Bekas penasihat keselamatan kepada Presiden Donald Trump, Michael Flynn mendedahkan beliau memperoleh pendapatan lebih AS$1.3 juta (RM5.7 juta) dengan bekerja untuk beberapa firma teknologi, kumpulan politik dan kontraktor kerajaan di samping menulis ucapan untuk syarikat Rusia serta melobi bagi sebuah firma milik ahli perniagaan Turki.

Pendedahan baharu itu terkandung dalam dua dokumen pendapatan yang setiap satu difailkan pada Februari lalu dan Jumaat lepas.

Pendedahan pada Februari lepas gagal melaporkan bayaran yang diterima Flynn untuk tiga teks ucapan yang ditulisnya untuk syarikat-syarikat Rusia berkenaan.

Sewaktu menjawab soalan mengenai perbezaan dalam dokumen perisytiharan pendapatan anak guamnya, peguam Flynn berkata, pemfailan pertama menyatakan bayaran yang diterima untuk teks ucapan secara pukal.

Menurut peguam itu lagi, dokumen awal merupakan draf dan tidak terperinci. Ia juga ditulis tanpa merujuk pada aspek etika kerana Flynn meninggalkan White House beberapa hari selepas menyerahkannya.

Senarai pendapatan terbaharu Flynn itu didedahkan oleh White House kelmarin.

Ia dibuat ketika Flynn berusaha mengelakkan siasatan suruhanjaya Kongres sebagai pertukaran kerana bekerjasama dalam siasatan rasmi mengenai hubungan beliau dengan Rusia dan kempen pilihan raya Trump pada 2016.

Hubungan Flynn dengan Rusia disiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan kini di bawah siasatan Jawatankuasa Perisikan Senat dan White House.

Kedua-dua jawatankuasa itu menyiasat campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden 2016 termasuk kaitan antara kempen Trump dan Kremlin. – AP/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.