Pyongyang Sekat FB, Twitter Halang Sebar Maklumat

PYONGYANG – Korea Utara menyekat media sosial seperti Facebook, YouTube, Twitter dan laman web Korea Selatan dalam langkah yang menggariskan kebimbangan rejim dengan penyebaran maklumat menerusi online.

 

Pengumuman Kementerian Pos dan Telekomunikasi itu disiarkan minggu ini pada pembekal telefon bimbit utama negara itu, Koryolink, dan tempat lain yang menawarkan khidmat internet kepada pengguna.

 

Tidak ramai rakyat negara itu mempunyai capaian internet. Biasanya mereka cuma dapat melihat di perkhidmatan tertutup dan dikawal kerajaan.

 

Namun warga asing sebelum ini boleh melayari internet tanpa sekatan, walaupun ada pihak yang mengawasi aktiviti internet mereka.

 

Sekatan baru itu tambah menyukarkan pelancong atau komuniti kecil penduduk warga asing di Korea Utara menyiarkan maklumat sebenar mengenai negara itu kepada dunia luar, dan akan mengehadkan rakyat Korea Utara mendapat khidmat internet untuk menilai maklumat mengenai negara mereka.

 

Kerajaan menamakan YouTube, Facebook, Twitter, Voice of America dan media Korea Selatan sebagai contoh khusus apa yang disekat ‘untuk tempoh waktu tertentu.’

 

Pengumuman itu menyatakan laman web perjudian dan lucah serta seks juga disekat. Ia juga menambah, sesiapa yang cuba menggodam laman yang disekat, mengakses ia menerusi cara tidak ‘elok’ atau mengedarkan ‘data antirepublik’ berhadapan hukuman menurut undang-undang negara itu. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.