Malaysia Hubungi Filipina Runding Kes Penculikan

KOTA KINABALU – Malaysia akan menghubungi kerajaan Filipina berhubung kes penculikan empat rakyat negara ini.

 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ini akan dilakukan setelah pihaknya mendapat maklumat sahih dan terperinci mengenai kejadian itu daripada pihak berkuasa berkenaan.

 

“Kemudian, barulah kita fikir, apakah kerjasama yang perlu dilakukan antara Malaysia dan kerajaan Filipina supaya mangsa diculik dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya lapor sebuah laman portal.

 

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar agar digantung serta merta segala bentuk hubungan perniagaan antara Sabah dengan Selatan Filipina.

 

Menurut cadangan itu, langkah itu termasuk menggantung pembekalan barang keperluan ke selatan negara itu.

 

Anifah berkata, cadangan itu perlu dilihat jika ia mampu menjadi antara langkah terbaik mengurangkan kes penculikan yang sering berlaku di negeri ini.

 

Beliau berkata, perniagaan memang penting, tetapi nyawa lebih penting.

 

Katanya, Malaysia memandang serius kes penculikan termasuk jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di perairan Sabah.

 

“Apabila ia melibatkan nyawa, kita (Malaysia) ambil serius dan saya tahu Kerajaan Pusat begitu prihatin tentang (keselamatan) Sabah.

 

“Namun, perairan (Sabah) luas, agak sukar untuk menjaga dan mengawal satu atau dua kapal masuk.

 

“Justeru, kita minta supaya mereka (kerajaan Pusat) lebih melihat keadaan itu termasuk mencari kaedah memberhentikan kegiatan culik ini,” katanya.

 

Mangsa yang diculik itu berumur 21 hingga 34 tahun adalah dari kumpulan sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

 

Lima individu lain yang terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia dilepaskan oleh penculik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.