Khidmat Teksi Dalam Talian Semakin Popular?

KUALA LUMPUR – Kenapa semakin ramai pengguna memilih untuk menggunakan khidmat teksi dalam talian?

 

Kalangan pengguna yang pernah menggunakan perkhidmatan teksi di ibu kota berkongsi ‘pengalaman pahit’ mereka.

 

Antaranya pemandu teksi didakwa enggan menggunakan meter, meletakkan tambang terlalu tinggi dan enggan ke destinasi tertentu dengan pelbagai alasan manakala perkhidmatan alternatif dikatakan bertoleransi dan memuaskan.

 

“Layanan yang diterima sangat tidak memuaskan, dan situasi ini membuatkan saya beralih menggunakan perkhidmatan Uber dan GrabCar,” kata Amira Ahmad, 28, seorang penjawat awam.

 

Penggunaan aplikasi pintar bagi mendapatkan perkhidmatan teksi alternatif adalah mudah, kadar tambang murah dan layanan baik berbanding pemandu teksi yang mengenakan bayaran tanpa mengikut kadar yang ditetapkan, katanya ketika ditemui Bernama.

 

Mahasiswa sebuah universiti swasta, Nur Atikah Saad, 23, yang kini menjalani latihan industri di ibu kota, berkata dia berasa amat terbeban dengan kadar tambang teksi yang dikenakan tanpa menggunakan meter.

 

Bagi Faizah Hussin, 27, pekerja swasta, perkhidmatan teksi dalam talian menjadi pilihan utama kerana ia menawarkan harga perkhidmatan yang amat berpatutan.

 

“Selain itu mereka tidak pernah menolak untuk menghantar penumpang ke mana-mana destinasi, atau merungut jalan sesak,” katanya.

 

Selasa lepas, lebih 300 pemandu teksi melancarkan mogok di ibu kota kerana membantah perkhidmatan teksi dalam talian yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.

 

Ia juga sebagai protes terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dikatakan gagal mengekang perkhidmatan GrabCar dan Uber.

 

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain ketika dihubungi Bernama mengakui memang terdapat segelintir pemandu teksi bersikap seperti yang didakwa orang ramai itu.

 

“Tapi janganlah disebabkan ‘nila setitik rosak susu sebelanga’, sebenarnya sikap pemandu bukanlah punca utama tetapi harga yang ditawarkan menjadi faktor utama mereka menggunakan Uber dan GrabCar,” katanya.

 

Kamarudin menyambut baik kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung perkhidmatan Uber dan GrabCar untuk didaftarkan di bawah SPAD.

 

“Jika benar SPAD mahu jadikan aplikasi tersebut sebagai pengangkutan awam berdaftar, sila umumkan perkara ini kepada pemandu teksi agar kami tidak tertanya-tanya apa statusnya,” katanya.

 

Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu penyelesaian yang adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat ini berhubung isu itu.

 

Beliau berkata kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.