Siti Saleha Gementar Berdepan Tun M

Meskipun bukan seorang penyanyi tetapi ia tidak menghalang pelakon cantik Siti Saleha, 25, menyahut cabaran membuat persembahan seperti penyanyi profesional di depan khalayak untuk sebuah majlis amal pada Mei depan.

 

Begitupun, dia mengakui berdebar-debar kerana antara tetamu kehormat yang akan menyaksikan persembahannya itu nanti ialah mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tun M.

 

Menurutnya, dia akan membuat persembahan untuk majlis amal anjuran sebuah institusi pengajian tinggi awam pada 17 Mei ini.

 

“Ini pertama kali saya akan menyanyi depan orang ramai. Walaupun saya bukan penyanyi tapi saya yakin saya boleh berikan persembahan yang baik.

 

“Namun, saya akui rasa gementar juga lebih-lebih lagi saya akan menyanyi di depan Tun M nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Pesta Berlian Habib di Kuala Lumpur, semalam.

 

Gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris ini menyatakan dia tidak melakukan apa-apa persediaan mahupun mengikuti kelas vokal.

 

“Seperti mana lakonan, saya tidak pernah ada apa-apa persediaan dan tidak pernah mengikuti kelas lakonan.

 

“Sebaliknya, saya lebih banyak memerhati. Begitu juga, apabila dicabar untuk menyanyi, saya tidak banyak melakukan persediaan.

 

“Saya ada ingatkan penganjur yang saya ini bukan penyanyi tetapi mereka mahukan juga saya membuat persembahan. Saya harap semua okay.

 

“Namun, mujurlah saya tidak keseorangan kerana abang saya (Sam Bunkface) juga akan menyanyi bersama saya nanti,” katanya.

 

Perkembangan lain, drama lakonanya bersama Aqasha berjudul Ayuni Safira kini sedang di tayangkan di TV9.

 

Dia juga akan sibuk di lokasi Uda Dan Dara mulai Mei depan. Drama sebanyak 80 episod ini menggandingkannya bersama hero kacak berbadan sasa, Zul Ariffin. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.