‘Selamat Tinggal Wolverine!’ Lakonan Terakhir Hugh Jackman?

Kuala Lumpur – Selepas 17 tahun dan lapan buah filem yang menyaksikan pelakon kacak, Hugh Jackman berlakon sebagai Wolverine dalam filem X-Men, akhirnya pelakon kacak itu memberi gambaran bahawa dia tidak akan lagi membawakan watak ikonik tersebut.

 

Perkara itu dikuatkan lagi apabila Jackman memuat naik sekeping gambar menerusi akaun Instagramnya (@thehughjackman) beberapa hari lalu yang disertakan dengan kapsyen yang berbunyi: “Wolverine…One Last Time. HJ” (Wolverine…Untuk kali terakhir. HJ).

 

Ternyata ia mendapat respons peminat yang rata-rata sedih dengan keputusan yang dibuat oleh pelakon kelahiran Sydney, Australia yang akan melakonkan watak tersebut untuk kali terakhir bagi filem sekuel ketiga Wolverine yang berjudul Wolverine 3.

 

Sebelum ini, dalam satu temubual pada tahun 2014, aktor kelahiran Sydney, Australia itu pernah memberitahu seandainya dia terlibat dalam filem stand alone Wolverine, itu menandakan penglibatannya yang terakhir.

 

“Jika itu berlaku, saya yakin 99.9 peratus ia akan menjadi yang terakhir. Jadi, apabila saya bersetuju untuk membintangi filem ketiga Wolverine ini, ternyata sudah jelas pendirian yang saya lakukan,” katanya yang dipetik menerusi majalah Rolling Stone.

 

Dengan keputusan itu juga, Jackman tidak akan lagi terlibat dalam mana-mana filem X-Men selepas ini termasuk filem yang akan menggandingkan watak-watak X-Men dan The Avengers seperti mana yang dirancang.

 

Apabila ditanya tentang kebarangkalian untuk watak Wolverine melalui proses penjenamaan semula seperti Spider-Man, Jackman menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan dan tidak mustahil akan ada pelakon lain yang membawakan watak tersebut di masa hadapan.

 

Dalam masa yang sama, masih belum dapat disahkan sama ada Jackman akan membintangi filem sekuel, X-Men: Days of Future Past iaitu X-Men: Apocalypse yang sudah pun memulakan penggambarannya.

 

Namun begitu, ada sekeping gambar yang tersebar di laman sosial yang menunjukkan kostum Wolverine yang dikhabarkan akan digunakan oleh Jackman dalam X-Men: Apocalypse walaupun belum ada kepastian yang nyata tentang berita itu.

 

Jackman yang juga bekas calon Oscar untuk Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Les Miserables itu mula menempa nama dan dikenali dengan watak Wolverine apabila membintangi filem pertama daripada francais filem tersebut, X-Men pada tahun 2000.

 

Keberkesanan dan impak lakonannya sebagai watak adihero itu telah menjadikannya bintang ternama dunia sekelip mata serta meletakkan siri filem X-Men sebagai salah satu francais filem terlaris di dunia dengan kutipan sebanyak USD3 billion.

 

Dalam perkembangan lain, Jackman akan muncul dalam filem Pan dengan membawakan watak Blackbeard yang dijangka tayangannya pada bulan Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.