Selamat Tinggal Dunia Lakonan – Dynas

“Dia kawan lama saya dan kenal sejak zaman sekolah. Memang dia lelaki yang rapat dengan saya sekarang,” itu kata pengacara dan pelakon Dynas Mokhtar mengulas lanjut hubungannya dengan seorang jejaka apatahlagi kemesraan mereka sejak kebelakangan ini jelas terserlah menerusi gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya.

 

Enggan nama lelaki itu didedahkan, ibu anak dua ini memberitahu dia sudah berjumpa dengan ibu kepada sahabatnya itu.

 

“Saya hanya pernah berjumpa dengan ibunya saja dan ahli keluarga lain belum. Masih awal untuk saya kongsikan tentang itu (kahwin). Insya Allah,” tuturnya sambil tersenyum.

 

Mengenai perkembangan terkini, kehidupannya sebagai ibu tunggal sejak tahun lalu dalam keadaan baik.

 

Malah, dia gembira kerana kembali dapat melakukan perkara-perkara yang disukai yang jarang-jarang dapat dilakukakn selepas berumah tangga.

 

“Kehidupan saya okay. Sekarang saya boleh lakukan semula aktiviti yang saya tinggalkan dulu seperti menyelam dan melancong.

 

“Anak-anak saya pun okay. Saya jenis suka manjakan anak-anak berbanding dengan bekas suami dia seorang yang tegas.

 

“Disebabkan anak-anak manja, kadang-kadang tu pening juga nak layan kerenah mereka,” katanya yang juga memberitahu masih berhubungan baik dengan bekas suaminya Mohd Hafizi Mohamed

 

Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 32, dan Hafizi sah bercerai pada 25 Februari tahun lalu selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

 

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khayra Khalysa, 5, dan Mohamed Haqaish, 3.

 

 

Belajar Masak, Berhenti Berlakon

 

Selain sibuk dengan perniagaan dan pengacaraan, Dynas sekarang semakin rajin belajar memasak.

 

“Dulu saya paling benci memasak tetapi sejak akhir-akhir ini saya suka belajar memasak. Macam-macam resepi saya belajar daripada ibu kawan-kawan saya.

 

“Betullah kata orang memasak ini kalau campak-campak saja asalkan sedap. Rupanya seronok bila kita betul-betul tahu macam mana nak masak satu-satu menu tu.

 

“Sampaikan ada juga yang minta saya kongsikan resepi, sedangkan saya pun baru belajar memasak,” ujarnya sambil tertawa.

 

Dalam perkembangan lain, Dynas menyatakan dia mahu meninggalkan dunia lakonan secara perlahan. Lebih-lebih lagi sekarang dengan adanya ramai bakat baru, sudah tiba masanya dia berundur dan memberi peluang pada orang lain.

 

Di samping mengacara, tumpuan kini pada perniagaan online menerusi IG yang diberi nama maroon.red dan DNA By Dynas.

 

Dynas juga akan menjalani penggambaran sebuah program berkonsepkan khidmat masyarakat sebanyak 13 episod terbitan Astro tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.