Polis Siasat Kes Samun Wanita Hamil

Kota Tinggi – Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman mengesahkan, kejadian samun membabitkan seorang wanita hamil di Kilometer 62, Lebuhraya Senai-Desaru pada Rabu lalu yang menjadi viral di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

 

Beliau berkata, polis sedang menyiasat kejadian yang berlaku pada jam 8 malam, 1 April lalu, ketika wanita yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel itu, melalui lebuh raya tersebut berseorangan.

 

Katanya, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan menuju Pasir Gudang, berselisih dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 hitam yang dinaiki seorang lelaki dari arah bertentangan.

 

“Lelaki tersebut bertindak membaling satu objek, disyaki batu ke arah cermin kereta mangsa.

 

“Ekoran itu, mangsa memberhentikan kereta dan bertanyakan suspek, kenapa membaling objek tersebut ke arah keretanya,” katanya.

 

Bagaimanapun, katanya, suspek tiba-tiba meluru ke arah mangsa dan bertindak merampas telefon bimbit yang sedang digunakan mangsa untuk menghubungi suaminya.

 

“Selepas suspek berjaya merampas telefon bimbit dan melarikan diri, mangsa telah masuk ke dalam kereta dan bertindak mengunci serta beredar dari tempat kejadian.

 

“Bagaimanapun, suspek masih mengekori mangsa dengan bertindak menghimpit kereta yang dipandu mangsa. Suspek kemudiannya beredar dan terus menghilangkan diri,” kata Rahmat.

 

Beliau turut menafikan dakwaan mangsa ditumbuk, sebaliknya mangsa hanya mengalami  kecederaan ringan di pipi, ketika suspek merampas telefon bimbitnya dan menurutnya, polis telah mengambil keterangan mangsa.

 

“Ekoran kejadian itu, polis dari Bandar Penawar telah diarahkan untuk mempertingkatkan rondaan dengan kerjasama pihak peronda lebuh raya Senai Desaru Expressway Bhd.

 

“Sekatan jalan raya juga masih beroperasi pada jarak dua kilometer dari Tol Bandar Penawar,” katanya.

 

Beliau menasihatkan orang ramai jangan panik, jika berdepan situasi sedemikian serta tidak bertindak bersendirian, bagi mengelakkan kecederaan atau nyawa terancam.

 

“Jika berlaku sebarang perkara mencurigakan, jangan berhentikan kenderaan. Pandu terus ke kawasan orang ramai atau ke balai polis berdekatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.