Perancis Larang Peragawati Terlampau Kurus

Paris – Perancis mengikut jejak Sepanyol, Itali dan Israel, dengan meluluskan larangan ke atas peragawati terlampau kurus di pentas peragaan.

 

“Sesiapa yang indeks jisim badan (BMI) di bawah tahap tertentu, tidak boleh bekerja sebagai peragawati pentas peragaan,” demikian menurut pindaan undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat Perancis.

 

Agensi yang didapati mengambil peragawati atau peragawan dianggap terlalu kurus, boleh dikenakan denda sehingga 75,000 euro atau RM298,648 dan enam bulan penjara.

 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Marisol Touraine menasihatkan peragawati dan peragawan mengamalkan pemakanan seimbang dan menjaga kesihatan masing-masing.

 

“Ini adalah mesej penting kepada wanita muda yang menjadikan peragawati-peragawati ini sebagai contoh estetik,” katanya.

 

Namun, Kesatuan Agensi-agensi Peragaan Kebangsaan mengadu, langkah itu akan menjejaskan saingan dalam dunia peragaan Perancis.

 

Pindaan itu dibuat, selepas satu pindaan sama diluluskan ke atas individu yang menghasut orang lain menjadi terlampau kurus, dengan mengenakan hukuman penjara setahun dan denda 10,000 euro atau RM39,819.

 

Undang-undang itu menyasarkan laman-laman sesawang “pro-ana” yang didakwa sesetengah pihak menggalakkan penyakit anoreksia.

 

Dianggarkan sehingga 40,000 pesakit menghidap anoreksia di Perancis, di mana sembilan daripada 10 pesakit itu adalah wanita dan gadis. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.