PasMa Umpama Anai-Anai Dalam PAS – Mohd Amar

Kuala Lumpur – Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) sebagai anai-anai dalam PAS.

 

Mohd Amar berkata tidak ada guna ahli dan penyokong PasMa berada dalam PAS sekiranya terus menerus memburukkan parti sendiri.

 

“Kewujudan PasMa tidak memberi ancaman langsung kepada PAS kerana mereka menyertai pertubuhan itu disebabkan mempunyai masalah dalam parti selain dipinggirkan ahli,” katanya seperi dilaporkan Berita Harian.

 

Manakala Utusan Malaysia pula melaporkan Mohd Amar menggesa PasMa bertanding bersama PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

 

“Saya sangat alu-alukan PasMa ini bentuk parti politik baharu, sebab duduk dalam PAS pun menyusahkan. Lebih baik tubuh parti sendiri dan kita lawan. Bukan cabar, tetapi itu cara paling baik.

 

“Agak pelik apabila berada dalam PAS tetapi mengkritik parti sendiri,” Mohd Amar dipetik sebagai berkata oleh Utusan Malaysia.

 

Mohd Amar juga dilaporkan berkata PasMa bukanlah ancaman kepada PAS kerana bilangan ahli NGO itu “boleh dikira dengan jari”.

 

“Tidak ramai dalam PasMa ini, boleh bilang dengan jari. Bukan satu ancaman bagi kita. Dan kita tengok di Kelantan, orang yang terlibat dengan PasMa ini hanya orang yang bermasalah di dalam parti.

 

“Boleh dikatakan mereka yang menyertai PasMa ini orang yang tidak dite­rima ahli parti,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu lagi.

 

Semalam, Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, PasMa merancang menjadi sebuah parti politik supaya ia boleh secara rasmi menyertai Pakatan Rakyat.

 

Katanya, yang juga merupakan salah seorang pemimpin PAS Kedah, ahli PasMa juga “sangat kuat mahukan” kumpulan itu menyertai pakatan pembangkang. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.