Mahathir Terdesak Mahu Jatuhkan Najib

Kuala Lumpur – “Mengapa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) begitu terdesak seolah mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak ketika ini?”.

 

Persoalan itu dilontarkan seorang Ahli UMNO terhadap pelbagai isu dibangkitkan Tun M merujuk kepada kepimpinan Najib yang dikritik hebat sejak kebelakangan ini.

 

Menurutnya, beliau yang mendakwa rapat dengan Tun M itu, melihat senario yang berlaku membabitkan kenyataan menghentam Najib hanya perkara sama yang diulang dan dilaporkan media.

 

“Mengenai 1MDB, Najib sudah beritahu perkara ini sedang disiasat dan lebih baik kita tunggu keputusan siasatannya nanti. Tun M dulu tidak macam ini. Apakah sebenarnya yang berlaku menyebabkan beliau jadi seperti ini, terdesak?

 

“Apabila saya membaca blog Tun M, saya sedih. Selama ini saya tidak bersuara kerana saya rapat dengan kedua pihak. Saya suka tengok mereka berbaik kembali dan saling menghormati kedudukan masing-masing seperti Najib sebagai Perdana Menteri dan Tun M seorang mantan,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

 

Beliau turut melahirkan rasa kecewa sambil menyifatkan, apa yang berlaku terhadap Najib pada masa kini juga pernah berlaku kepada Tun M sendiri ketika menjadi perdana menteri apabila beliau dikritik ramai pihak.

 

“Tidak perlu saya buka skandal dahulu. Saya sendiri malu dengan situasi ini seolah Tun M begitu terdesak mahu menjatuhkan Najib.

 

“Soal 1MDB, pihak Jabatan Audit Negara, polis termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga terbabit dalam siasatan ini. Jadi, lebih baik kita tunggu dan bersabar.Jika tidak berpuas hati dengan laporan siasatan nanti, pada masa itu jika mahu tubuhkan Suruhanjaya Bebas Diraja juga boleh,” ujarnya lagi.

 

Mengenai isu pembelian jet baru oleh Najib, beliau menyatakan ia adalah atas tujuan untuk kegunaan kerajaan bukan saja kepada Perdana Menteri mahupun Yang di-Pertuan Agong.

 

“Jet yg kita ada selama ini adalah jet lama yang digunakan dan saya difahamkan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah memberi keterangan berhubung isu ini. Pada saya, takkan negara sedang berhadapan kerumitan ekonomi, kerajaan pula membuat pembaziran yang secara terangan orang lain nampak.

 

“Sekiranya berlaku pembaziran, kita nak sorok di mana. Pembelian jet baru ini adalah keperluan dan mungkin pada pandangan saya, PMO harus terangkan sekali lagi kepada umum mengenai pembelian jet ini dan nyatakan jet lama sudah lama dan memerlukan kos penyelenggaran yang tinggi,” katanya.

 

Bagi kes pembunuhan Altantuya iaitu wanita Mongolia yang didakwa terlibat dengan skandal pembelian kapal selam, beliau menyatakan setiap tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib perlu dibuktikan.

 

“Tun M dan rakyat sedia maklum, kes ini sudah berlanjutan selama 9 tahun dan dibicarakan. Mengapa sekarang Sirul tampil bersuara? Jika dia bercakap benar, dia kena tampil beserta bukti. Kenapa semasa di mahkamah, Sirul tidak menggunakan peluang itu untuk membuktikan dia tidak bersalah, kenapa apabila sudah dijatuhkan hukum baru mahu bersuara. Kita tahu orang yang ‘desperate’ akan melakukan macam-macam.

 

“Mungkin tindakan Tun M baik tetapi cara macam ini tidak betul (kerana) tindakan Tun M bukan saja mengeret seluruh parti UMNO untuk penuhi agenda beliau tetapi perkara sama berlaku ketika di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah),” katanya lagi.

 

Beliau menjelaskan, menghormati pendirian dan keputusan Mahathir memilih Pak Lah dan Najib untuk memimpin negara tetapi persoalan timbul jika mahu melantik orang ketiga bagi menggantikan Najib.

 

“Apakah jaminan jika orang ketiga itu yang diterima juga bertindak sama seperti ini. Setiap pemimpin yang mengambil alih kepimpinan negara mesti meletakkan orang yang mereka percaya sebagai penasihat dan sebagainya.

 

“Bagi saya, perkara ini sangat subjektif, ketika saya membaca blog Tun M, ia lebih bersifat peribadi dan saya pelik bagaimana beliau boleh merujuk laporan berita luar negara seperti New York Times, London Times dan Sarawak Report sedangkan sebelum ini beliau juga mengkritik media asing apatah lagi menyebelahi pembangkang.

 

“Tun M pernah menyoal portal Malaysian Insider yang didakwa dibayar George Soros dan paling lantang bersuara terhadap media asing. Dulu, Tun M melihat peranan media asing hanya mahu menjatuhkan negara dan memporak-perandakan negara,” katanya lagi.

 

Baginya, setiap pemimpin ada kelemahan termasuk Najib.

 

“Saya berharap semua pihak menghentikan serangan. Kita tahu isu yang dibangkitkan perlu ditangani dan di baik pulih, berilah ruang pada kerajaan memperbaiki mana kelemahan yang ada.

 

“Seperti isu 1MDB yang sedang disiasat, saya sebagai ahli UMNO berasa malu apatah lagi pembangkang juga berdepan isu bertelingkah antara mereka. Kenapa kita harus diheret dalam dilema ini dan sepatutnya ahli UMNO memperkuatkan barisan apatah lagi pembangkang berada dalam keadaan lemah.

 

“Jika dibandingkan masa pemerintahan Tun M, media pada masa kini lebih bersifat bebas dengan medium Internet dan laman sosial berbanding akhbar.

 

“Setiap zaman kepimpinan sejak Perdana Menteri pertama bermacam krisis yang mereka lalui. Setiap pemimpian ada krisis sendiri begitu juga Najib yang perlu ditangani.

 

“Sebagai ahli UMNO yang sudah lama bersama parti, saya rasa sedih dan lebih sedih apabila Tun M adalah individu yang sangat dihormati ahli UMNO.

 

“Tun M berhak bersuara tetapi apabila sampai ke tahap ini, persoalan mengapa isu sama dibangkitkan berulang kali seolah ada sesuatu yang ingin dicapai.

 

“Bagi pihak Najib, PMO perlu lebih proaktif terutama menjawab isu pembelian pesawat untuk dijelaskan kepada umum,” katanya. – MD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.