Lebihkan Premis Jual Produk Segar – PM

Kuantan – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu lebih banyak premis yang menyediakan peluang kepada golongan petani, nelayan dan penternak menjual terus produk segar mereka kepada pengguna diwujudkan di negara ini.

 

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan golongan pengeluar itu mendapat keuntungan yang lebih, manakala pengguna dapat membeli barangan segar berasaskan industri pertanian dengan harga lebih murah.

 

Menurutnya konsep Agrobazar Rakyat 1Malaysia, di Indera Mahkota yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan tawaran harga barang mentah seperti sayur, buah-buahan, ayam, daging dan ikan lebih murah sehingga 20 peratus berbanding di pasaran adalah model terbaik usaha itu.

 

“Konsep Agrobaazar Rakyat 1Malaysia ini merupakan satu platform pertemuan antara pengeluar dan pengguna, antara petani, nelayan dan penternak dengan suri rumah serta rakyat biasa yang mahukan outlet yang boleh menawarkan produk dan hasil segar dengan harga yang paling minimum,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Agrobazar Rakyat 1Malaysia, di Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Majlis turut dihadiri Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tan Sri Badruddin Amiruldin  dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahri Suib.

 

Agrobazar yang diwujudkan itu berkonsepkan pasar mini untuk membolehkan golongan peladang, penternak, petani dan nelayan menjadikannya sebagai medium  memasarkan hasil keluaran mereka tanpa menggunakan orang tengah.

 

Berbeza dengan Kedai Rangkaian 1Malaysia (KR1M) yang dimiliki syarikat pengendali, Agrobazar 1Malaysia ini dimiliki oleh usahawan dan beroperasi di kawasan bandar serta pinggir bandar dengan menawarkan 40 peratus barangan segar dari ladang dan 60 peratus barangan industri asas tani.

 

Menawarkan lebih 2,000 jenis barangan, Agrobazar Rakyat 1Malaysia ini juga menjual lebih 70 peratus barangan keluaran setempat untuk memastikan barangan keluaran usahawan tempatan mendapat pasaran yang lebih luas.

 

Najib berkata, cetusan idea bernas kementerian berkenaan di bawah pimpinan Ismail Sabri itu dapat mengekang tindakan orang tengah yang mengaut keuntungan secara berlebihan daripada hasil usaha dan titik peluh golongan peladang, petani, penternak dan nelayan.

 

“Usaha gigih yang dijalankan kementerian ini adalah untuk tidak membenarkan orang tengah mengeksploitasi keuntungan yang mereka dapat. Mereka (orang tengah) mengawal rangkaian bekalan dan tentukan harga kepada pengguna.

 

“Kalau kita dapat kawal rangkaian bekalan ini, diperkemaskan menjadi lebih efisien, kita bawa hasil dari ladang, nelayan kita boleh bawa ikan segar, maka pengguna akan dapat membeli dengan harga yang lebih rendah manakala peladang, petani, penternak dan nelayan dapat harga jualan yang lebih munasabah,” kata Najib.

 

Beliau berkata, konsep baharu ini juga akan dapat membantu rakyat menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa kini selain menambahkan lagi pendapatan peladang, petani, nelayan dan penternak.

 

“Projek seperti agrobazar ini akan kita perbanyakkan dan akan diberi keuamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 nanti,” katanya.

 

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan yang ada hari ini sentiasa membela kepentingan rakyat dan saya yakin serta percaya jika usaha ini dilakukan berterusan rakyat akan terus bersama Barisan Nasional,” katanya.

 

Disasarkan sebanyak 600 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia akan dibina mejelang 2020 dengan 50 outlet akan dibina pada tahun ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.