Ibu Sirul Mahu Jumpa Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar sedang megaturkan pertemuan antara Pia Samat -Sirul Azhar Umar- dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor Malaysiakini.

 

Mahfuz dilaporkan berkata, Piah ingin “memberitahu sesuatu” yang ada kaitan dengan anaknya -yang didapati bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu- kepada negarawan itu.

 

“Piah berharap Dr Mahathir akan membantu anaknya sejak Sirul menjadi kambing hitam,” kata Mahfuz seperti dilaporkan Malaysiakini.

 

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata pertemuan antara Piah dan Dr Mahathir dapat membantu menjelaskan pihak yang didakwa Sirul bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan model warganegara Mongolia itu dan mengetahui motifnya.

 

Mahfuz juga menjelaskan, Sirul ‘terharu’ dengan kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir di blognya semalam.

 

“Masa saya cakap dengan dia melalui telefon, dia beritahu saya bahawa dia ‘terharu’ dengan kenyataan bekas perdana menteri itu,” katanya.

 

Sirul sebelum ini pernah mendedahkan, beliau hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya Shaariibuu masih bebas.

 

Semalam, Dr Mahathir dalam satu tulisan di blognya menegaskan bahawa kenyataan Sirul bahawa beliau mengikut arahan melakukan pembunuhan itu perlu disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.