GST: Syarikat Telco Penipu!

Kuala Lumpur – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membidas tindakan syarikat telekomunikasi yang mengekalkan kadar 6 peratus Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah nilai prabayar bermula 1 April lalu.

 

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan syarikat telekomunikasi itu membuktikan mereka adalah penipu dan cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna bertujuan mengaut keuntungan.

 

“Saya rasa syarikat telekomunikasi ini memang perangai mereka macam ini (penipu). Suka menyusahkan pengguna dan hanya nak kaut keuntungan saja.

 

 

“Jadi, saya gesa pengguna supaya ajar diri mereka untuk memusuhi syarikat telekomunikasi dan mereka bukan kawan kita!

 

“Kita guna perkhidmatan mereka kerana terpaksa dan jangan terlalu mengikut cadangan mereka,” tegasnya.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan syarikat telekomunikasi semalam mengumumkan untuk mengekalkan 6 peratus GST ke atas kad tambah nilai prabayar tetapi menawarkan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

 

Mengulas lanjut, Nadzim menyatakan tawaran yang diberikan syarikat telekomunikasi kononnya untuk menutupi caj GST yang dikenakan mereka adalah satu tawaran yang mengarut.

 

“Kalau nak tambah, kenapa tak tambah 50 peratus atau bagi lebih lagi?

 

“Pengguna perlu bijak kerana syarikat telekomunikasi ini bukannya ada hati (perasaan). Hati mereka ini hanya mahu menipu pengguna saja.

 

“Jangan tertipu dengan tawaran mereka dan saya sarankan pengguna cuba sedaya upaya untuk kurangkan perbelanjaan menggunakan bil telefon,” ujarnya lagi.

 

Bagaimanapun, beliau turut melahirkan kekesalan terhadap kerajaan yang dilihat gagal membuat rundingan dengan syarikat telekomunikasi dalam memastikan mereka patuh dengan arahan kerajaan iaitu tidak menggenakan GST ke atas kad tambah nilai prabayar.

 

“Saya pelik kenapa pihak kerajaan perlu ikut kehendak syarikat telekomunikasi sedangkan arahan telah dikeluarkan kerajaan sebelum ini mengarahkan mereka agar tidak menggenakan GST.

 

“Sepatutnya, kerajaan bertegas kerana mereka yang memberikan lesen kepada syarikat telekomunikasi tetapi ini sebaliknya,” katanya.

 

Terdahulu, kerajaan telah mengeluarkan arahan meminta semua syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga kad nilai tambah prabayar memandang GST yang dilaksanakan adalah sama dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.