GST: “Kenapa Syarikat Telekomunikasi Diberi Pengecualian?”

Kuala Lumpur – Pemuda Gerakan menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya mendokong janji kerajaan untuk tidak mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kad tambah nilai prabayar.

 

Menurut Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang, JKDM tidak seharusnya berkompromi dengan membelakangi keputusan yang dibuat kerajaan semalam.

 

“Dengan menghormati Jabatan Kastam, arahan oleh Kerajaan yang mana GST tidak boleh dikenakan ke atas kad tambah nilai prabayar mesti dipatuhi oleh syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

 

Selain itu, beliau turut menyoal mengapa syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan perlu diberi pengecualian.

 

Kata Keng Liang, JKBM juga seharusnya mengenakan tindakan kepada syarikat-syarikat tersebut sekiranya enggan mematuhi arahan yang dibuat oleh kerajaan itu.

 

Semalam, dalam sebuah laporan oleh Bernama, syarikat telekomunikasi memaklumkan akan tetap mengenakan caj enam peratus GST pada kad tambah nilai prabayar berkuat kuasa serta-merta.

 

Bagaimanapun, pelanggan akan ditawarkan tambahan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar nilai melebihi cukai enam peratus.

 

Pengarah Bahagian CBP, JKDM, Datuk T. Subromaniam berkata keputusan itu dicapai menerusi perbincangan antara ketua eksekutif syarikat telekomunikasi, JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Khamis. -Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.