Dua Beranak Tauke Dadah Dicekup

KUANTAN – Seorang wanita dan anak lelakinya dipercayai dalang dadah ditahan selepas polis menyerbu kenderaan mereka naiki yang berhenti di tepi jalan Besar Jengka 14, Bandar Jengka Maran di sini, Selasa lepas.

 

Lebih mengejutkan lagi, wanita berusia 42 tahun itu dikatakan mengetuai dan mengambil alih ‘perniagaan’ dadah suaminya selepas lelaki itu ditahan polis di Kuala Lumpur lebih setahun lalu.

 

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali berkata, penangkapan wanita berkenaan adalah hasil risikan polis dan soal siasat dari beberapa suspek sebelum ini termasuk suaminya.

 

Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan aktif menjalankan perniagaan menjual dadah di Kuantan, Maran dan Temerloh selepas mendapat bekalan dari Kuala Lumpur.

 

“Bagaimanapun, kesemua suspek tidak tinggal di Kuantan dan mereka berulang-alik dari Kuala Lumpur ke lokasi terbabit untuk menjalankan aktiviti di tiga daerah berkenaan,” katanya di sini, semalam.

 

Menurutnya, ketika ditahan, suspek bersama anak lelaki yang berusia 21 tahun dan teman wanita anaknya berusia 19 tahun, berada di dalam kenderaan jenis Toyota Innova.

 

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan menjumpai satu beg plastik di bahagian atas tempat letak kaki sebelah kiri bahagian penumpang belakang yang mengandungi sepuluh paket plastik lutsinar.

 

“Hasil pemeriksaan mendapati dalam paket itu mengandungi serbuk putih yang disyaki heroin seberat 4.5 kilogram dengan nilai anggaran RM100,000,” katanya.

 

Beliau berkata, susulan penemuan itu, kesemua suspek menjalani ujian air kencing dan dua beranak berkenaan positif dadah.

 

Katanya, polis akan meneruskan siasatan ke atas kesemua suspek dan mendapatkan lebih banyak maklumat jika ada lagi rakan-rakan mereka yang masih aktif menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

 

Fatimah berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga minggu depan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai kesalahan lampau. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.