Beberapa ADUN Pembangkang Kesal – MB Perak

IPOH – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang termasuk Pas telah bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bagi menyatakan kekesalan kerana bertindak memakai pakaian hitam sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 kelmarin.

 

Zambry yang tidak menyebut nama wakil rakyat pembangkang berkenaan percaya, tindakan memakai pakaian hitam itu sudah pastinya telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh ADUN terlibat dengan mengambil kira segala kesan baik dan buruk daripada perbuatan tersebut.

 

“Namun, mereka (pembangkang) tetap mengambil keputusan itu tanpa ada rasa hormat kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Sebaliknya, saya pula dituduh sebagai orang yang cuba bermain dengan sentimen sultan.

 

“Perkara ini tiada kaitan dengan menggunakan nama sultan tetapi adalah lanjutan kepada tindakan pembangkang yang tidak menghormati sultan sehingga akhirnya dijadikan perbahasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau tidak ingin untuk meneruskan polemik tersebut, sebaliknya mahu semua pihak mengambil iktibar dan memperbetul kesilapan kerana sekiranya perkara itu berpanjangan, dikhuatiri akan menambah kelukaan di pihak istana.

 

Namun, beliau sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana pembangkang boleh berpakaian hitam semalam bagi membantah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi tetap dilakukan kelmarin iaitu sewaktu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pertama kali mengenakan pakaian rasmi sebagai seorang sultan.

 

“Saya juga telah meminta supaya perbahasan hari berikutnya ditumpukan kepada keperluan rakyat lebih besar kerana tidak mahu isyarat salah yang diberikan oleh pembangkang ini akan membawa kepada tindakan spontan melibatkan ledakan perasaan.

 

“Saya pun tidak gembira dengan apa yang terjadi kepada wakil rakyat Menglembu (DAP) kerana tiba-tiba keretanya diserang dan ditahan (ketika ingin memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan).

 

“Sebab itu saya hendak sebutkan bahawa baik wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang, hendaklah menyampaikan isyarat betul supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan reaksi yang salah daripada masyarakat. Perkara ini amat menyedihkan lebih-lebih lagi, tahun ini ialah tahun pertabalan Sultan Perak,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.