Amanat Nik Aziz Mahu PAS Berbaik Dengan UMNO, Kata TMB Kelantan

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa bekas Mursyidul Am PAS, Allhahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah meninggalkan amanat supaya ahli PAS tidak mengkritik UMNO, lapor Berita Harian.

 

Mohd Amar dilaporkan berkata, Nik Aziz juga meminta supaya ahli PAS mewujudkan hubungan baik dengan UMNO bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di depan kira-kira 3,000 orang pada Majlis Penerangan Hudud di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, malam tadi.

 

“Hari ini, saya membuka rahsia dan menceritakan amanat Allahyarham kerana timbul isu yang dibangkitkan ahli PAS dengan mendakwa PAS sudah masuk perangkap Umno kerana kita mengadakan perbincangan bersama mengenai hudud.

 

“Kenapa isu ini perlu dibangkitkan kerana hubungan antara PAS dengan kerajaan persekutuan sudah lama terjalin. Malah, sepanjang pemerintahan Allahyarham Nik Aziz juga, hubungan itu sudah terjalin.

 

“Perlu ingat, Umno mempunyai kunci besar dalam kerajaan. Jadi, tidak perlu pertikaikan isu hubungan baik PAS dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya beri keyakinan kepada pimpinan PAS, kerana apa yang kita mahu lakukan ini untuk kebaikan rakyat,” Mohd Amar dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

 

Bulan lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) yang mendapatkan sokongan sebulat suara semua Adun termasuk dari UMNO. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.