Aduan Turun Pada Hari Kedua Perlaksanaan GST

PUTRAJAYA – Jumlah aduan dan pertanyaan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada hari kedua cukai baharu itu dilaksanakan didapati menurun.

 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, penurunan itu boleh dilihat melalui medium telefon iaitu sebanyak 35 peratus (720) berbanding 1,109 semalam.

 

Bagi aduan melalui e-aduan pula kata beliau, kadar penurunan adalah sebanyak 34 peratus dengan hari pertama sebanyak 690 aduan dicatat manakala hari ini hanya 345 aduan.

 

“Semua aduan itu direkod sehingga pukul 1 petang dan melihat pada penurunan itu, kita merasakan pengguna mulai faham tentang pelaksanaan GST.

 

“Walau bagaimanapun, saluran untuk pengguna menyatakan aduan dan pertanyaan masih terus disediakan. Saya harap para pengguna menggunakan ruang dan peluang ini dengan berhemah,” katanya dalam sidang akhbar taklimat GST di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam.

 

Alias memberitahu, berdasarkan e-aduan, pihaknya mendapati aduan paling tinggi dicatatkan adalah mengenai isu tambah nilai kad prabayar telefon bimbit iaitu 44 peratus dan kenaikan harga barang sebanyak 25 peratus.

 

Katanya, antara isu lain yang turut menjadi perhatian adalah kedai makanan dan minuman yang mengenakan GST, surat khabar dikenakan GST dan tambang pengangkutan awam yang juga dikenakan GST.

 

Menurutnya, meskipun aduan melalui telefon dan e-aduan menurun, aduan menerusi aplikasi MyKira GST menunjukkan sebaliknya apabila penggunaannya bertambah sebanyak 16,121 hari ini berbanding 10,696 semalam.

 

Beliau berkata, pengguna juga peka dengan kemudahan yang disediakan apabila Facebook Pusat Gerakan Antipencatutan (PGAP) menerima sebanyak 558 pertanyaan manakala Twitter sebanyak 445 pengadu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.