KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu lebih bersederhana dalam menyambut iftar bagi menghidupkan roh dan semangat Ramadan yang sedang dirasai ketika ini.
Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar setiap pengajuran majlis berbuka puasa dan sumbangan oleh kementerian serta jabatan kerajaan dilaksana secara bersederhana bagi memastikan semangat Ramadan dapat dihayati dengan sempurna.
Berucap di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) beliau menitipkan pesanan agar melebihkan sumbangan kepada yang memerlukan tetapi tidak berlebihan dari segi makan, minum, perkakasan dan perhiasan.
“Saya perhatikan juga kadang-kadang perkakasan itu agak berlebih.
“Kotak-kotak sangat indah untuk mengisi kurma.
“Kalau harga kotak lebih mahal daripada harga kurma, bagi saya ia satu pembaziran,” katanya pada Isnin.
Kata Anwar lagi, Ramadan bukan sahaja mengukuhkan keyakinan ibadat seseorang kepada ALLAH SWT tetapi juga memupuk integriti, disiplin, kejujuran dalam kehidupan.
“Setiap warga, perlu menggunakan kehadiran Ramadan ini dalam mengukuhkan keyakinan ibadah kepada Allah SWT, memupuk integriti, disiplin, dan kejujuran agar kita lebih insaf dalam kegiatan kita.
“Tentunya dimensi kemanusiaan atau manusiawi supaya kita lebih insaf dan bukan hanya mewahkan acara iftar.
“Tidak perlu sangat menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada yang lebih (memerlukan).
“Itu saya ingatkan kepada semua sebagai peringatan apatah lagi menjelang Aidilfitri ada persaingan untuk memberikan kotak lebih cantik,” pesan beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut mengajak rakyat untuk memberi tumpuan yang lebih terhadap al-Quran berikutan ia merupakan bulan turunnya Kitab Suci itu.
“Peringatan untuk kita semua, tumpu lebih sedikit kerana bulan ini turunnya al-Quran, jadi perlu membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesejnya.
“Al-Quran merupakan petunjuk kepada manusia agar dapat menentukan pertimbangan antara baik dan buruk,” jelasnya.