PN Berjaya Kekalkan Hubungan Baik Dengan Negara Luar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memelihara hubungan baik dengan negara luar sepanjang setahun mentadbir Malaysia meskipun semasa negara dan dunia sedang bergelut melawan pandemik COVID-19.

Pensyarah kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata Malaysia sentiasa mengukuhkan hubungan antarabangsa sedia ada dengan negara lain walaupun kepimpinan negara bertukar tangan sejak tahun lepas.

“Kita (Malaysia) masih kekal mempertahankan kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa, mendukung tinggi prinsip tidak campur tangan dalam urusan negara lain, menghormati kemerdekaan dan kedaulatan wilayah negara jiran.

“Malaysia juga sentiasa percaya bahawa setiap permasalahan harus diselesaikan tanpa menggunakan kekerasan sebaliknya secara rundingan,” katanya dalam program Koresponden Bernama yang bertajuk ‘Keprihatinan kerajaan bela nasib rakyat’ di Bernama TV di sini, hari ini.

Penganalisis politik itu menjelaskan hubungan antarabangsa menjadi tonggak utama dalam kerajaan terdahulu dan ia diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Mengulas mengenai tempoh setahun Muhyiddin mengambil alih pucuk kepimpinan negara, Mujibu berkata kajian Merdeka Center yang menunjukkan 69 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin Yassin, yang membuktikan kewibawaan perdana menteri itu.

Katanya menurut kajian yang dijalankan pada September lepas, 58 peratus pengundi juga berpuas hati dengan prestasi PN dan ia boleh dilihat sebagai tahap pengukuran prestasi setahun pentadbiran kerajaan gabungan parti politik baharu itu.

“Ada perkara tertentu mereka (rakyat Malaysia) berpuas hati seperti cara kerajaan mengendalikan pandemik COVID-19, pakej bantuan ekonomi seperti pelaksanaan moratorium, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Bantuan Prihatin Nasional dan i-Sinar,” jelasnya.

Pada 1 Mac lepas, genap setahun Muhyiddin memegang jawatan nombor satu negara dan PN menjadi kerajaan selepas kemelut politik melanda negara apabila perdana menetri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya pada 24 Februari lepas.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat