2 Pelajar Maut, Motosikal Dirempuh Hilux

BINTULU – Dua pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda berhampiran kawasan sekolah berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dua mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Farliorina Ija Ngalon, 17, dan Ivory Usun Jau, 16.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, kedua-dua pelajar terbabit dikatakan dalam perjalanan menuju ke sekolah berkenaan dengan menunggang sebuah motosikal.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dibawa Farliorina dikatakan tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Toyota Hilux, lapor Kosmo

“Impak perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan mereka.

“Pemandu Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 48 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda itu untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.