SSM Gempur Premis Niaga Segitiga Emas Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR – Lebih 40 premis perniagaan di kawasan segi tiga emas di ibu negara digempur Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana disyaki menggunakan khidmat warga asing secara tidak sah.

 

Lokasi sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, kawasan Hotel Imperial, Jalan Belanga-Jalan Beremi, kawasan Hotel Federal dan Jalan Changkat Bukit Bintang itu turut dikesan menjadi antara lokasi panas penjualan barang tiruan.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad, berkata gerakan menerusi Ops Niaga itu dilancarkan dalam usaha memastikan setiap perniagaan yang berdaftar, mematuhi undang-undang berkaitan penggunaan khidmat warga asing.

 

Beliau yang juga Pengerusi SSM, berkata pemilik yang mendaftar perniagaan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tidak boleh mengaji atau menggunakan khidmat pekerja asing yang masuk ke negara ini dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau pas ekspatriat.

 

“Malah, satu kesalahan jika pemilik lesen menyerahkan lesen perniagaan kepada warga asing untuk diusahakan. Kami menerima banyak laporan daripada orang awam berhubung kesalahan membabitkan salah guna lesen perniagaan oleh warga tempatan dan asing.

 

“Oleh demikian, kami mengambil inisiatif terbaru, mengadakan Ops Niaga bagi memburu mereka yang melanggar undang-undang ditetapkan,” katanya, tadi.

 

Operasi bersepadu bermula jam 11 pagi itu disertai 160 anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi seperti KPDNKK, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.