Tragedi Bukit Kepong, Sesuatu Yang Tidak Boleh Dilupakan

Tragedi Bukit Kepong merupakan pertempuran bersenjata yang meninggalkan sejarah berlaku pada 23 Februari 1950 melibatkan pihak polis dan Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

 

Ia berlaku di kawasan sekeliling Balai Polis Bukit Kepong yang terletak ditebing Sungai Muar. Kejadian ini berlaku sebelum waktu Subuh apabila pasukan komunis melancarkan serangan gerila ke atas polis dan berakhir tragik apabila berlaku penyembelihan berdarah terhadap hampir kesemua pegawai polis yang berkhidmat disitu.

 

Memetik daripada kandungan buku ‘Memoir Abdullah C.D’, Tragedi Bukit Kepong telah diketuai oleh Mat Indera, seorang komunis Melayu yang memimpin dua plantun komunis Melayu. Ia turut disahkan oleh Chin Peng menerusi buku ‘Dialogues with Chin Peng : New Light On The Malayan Communist Party’, C. C. Chin, Karl Hack.

 

Parti Komunis Malaya telah disertai oleh ramai Melayu kerana mereka percaya bahawa PKM membawa objektif memperjuangkan kemerdekaan tanahair - mDParti Komunis Malaya telah disertai oleh ramai Melayu kerana mereka percaya bahawa PKM membawa objektif memperjuangkan kemerdekaan tanahair.

 

Idelogi komunis yang anti Tuhan tidak boleh dipakai masuk di negara kita sejak dulu lagi kerana majoriti di sini berbangsa Melayu dan beragama Islam.

 

Sewaktu Tanah Melayu, sokongan terhadap PKM tidak begitu memberangsangkan kerana gerakan mereka tidak diiktiraf sebagai parti politik yang sah.

 

Maka satu agenda telah dibuat oleh PKM dalam mendapatkan sokongan daripada kaum majoriti di Tanah Melayu waktu itu.

 

Membawa masuk orang Melayu sebagai pemimpin tertinggi dalam mengetuai beberapa bentuk serangan yang berlaku merupakan salah satu daripada agenda mereka untuk menakluki kepercayaan penduduk Tanah Melayu.

 

Mereka mengambil hati orang Melayu dengan menyebarkan objektif gerakan Parti Komunis Malaya adalah memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada pihak British.

 

Penglibatan Mat Indera sebagai anak Melayu yang mengetuai serangan bersama pasukan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong menjadi salah satu contoh orang Melayu rela diperalatkan demi memenuhi keinginan PKM dalam cubaan menjajah Tanah Melayu secara perlahan.

 

Pasukan polis di Bukit Kepong - mD

Pasukan polis di Bukit Kepong.

 

Maka, timbul pelbagai versi sejarah daripada ramai pihak mengenai ‘Tragedi Bukit Kepong’. Ramai yang menganggap Mat Indera merupakan seorang pejuang negara kerana dia bertekad membunuh polis-polis yang dianggap pembelot dengan alasan mereka bekerja di bawah penjajahan orang putih ketika itu.

 

Mat Indera terpedaya dengan dakyah idelogi komunis dan jika benarlah beliau mahu memerangi penjajah, beliau boleh lakukannya bersama orang Melayu dan bukan mendapatkan pertolongan komunis yang mempunyai agenda tersembunyi.

 

Apakah Mat Indera dan rakyat Malaysia lupa bahawa Parti Komunis Malaya juga pernah bersekutu dengan pihak British dari tahun 1942 hingga 1945?

 

Menurut rancangan asal, serangan itu hanya sebagai tanda amaran sahaja.

 

Bagaimanapun, serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng Tun bertukar menjadi tragedi berdarah.

 

Persoalan yang bermain di fikiran masyarakat terhadap sejarah ini adalah apakah sebenarnya perancangan asal PKM di Bukit Kepong?

 

Mengapa perancangan asal mereka berubah? Siapa yang memberikan arahan kepada Mat Indera melancarkan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dan apa peranan sebenar Mat Indera?

 

Dr. Nazarudin Zainun

Menurut Pakar Sejarah Melayu Dunia dan Asia Tenggara, Universiti Sains Malaysia, Dr Nazarudin Zainun, persoalan ini perlu diteliti secara mendalam kerana berdasarkan keterangan beberapa tokoh komunis, tujuan mereka hanya hendak menakutkan saja tetapi apabila ada serangan balas daripada pihak polis, maka terjadilah serangan berdarah tersebut.

 

Alasan mereka itu terlalu mudah dengan hanya meletakkan beban kepada pihak polis saja.

 

“Mereka harus ingat. Polis adalah pihak yang diserang. Tentulah mereka perlu mempertahankan diri. Kita tengok dari segi jumlah anggota komunis pun sudah jelas menunjukkan bilangan mereka jauh lebih ramai daripada polis dan lengkap bersenjata. Logikkah datang hanya untuk memberi amaran saja?

 

“Pasukan komunis membuat barisan pertahanan di bahagian belakang dan barisan utama untuk memutuskan bekalan bantuan dan logistik kepada polis. Mereka yang menjaga barisan belakang adalah untuk menghalang kemaraan bantuan daripada orang kampung.

 

“Bukankah tindakan pasukan komunis itu jelas memperlihatkan bahawa mereka sudah merancang lebih awal untuk melancarkan serangan dan bukanlah terjadi kerana keterdesakkan keadaan?,” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Mengulas mengenai penglibatan Mat Indera sebagai orang Melayu komunis yang terlibat dalam serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong, jelas Dr Nazarudin, Mat Indera adalah ahli pasukan komunis yang berpangkat tinggi di lapangan ketika peristiwa tersebut. Beliau tentunya bertindak sesuai dengan arahan yang diterima daripada orang teratas dalam PKM.

 

“Bukankah ini jelas memperlihatkan percaturan oleh pihak tertentu untuk memecah belahkan kesatuan Melayu yang akhirnya akan wujud kelompok Melayu yang menyokong polis dan Melayu yang menyokong komunis?

 

“Strategi mereka sudah berjaya sekarang. Sesuai dengan perancangan komunis yang cuba untuk menguasai Tanah Melayu secara perlahan,” katanya.

 

Tambah Dr Nazarudin, alasan pasukan komunis membunuh anggota polis kerana dianggap pembelot hanyalah sekadar untuk mengesahkan tindakan mereka saja.

Antara bukti kekejaman yang dilakukan oleh pasukan komunis sewaktu di Tanah Melayu dahulu - mD

Antara bukti kekejaman yang dilakukan oleh pasukan komunis sewaktu di Tanah Melayu dahulu.

 

 

Pada hakikatnya, mereka terlupa bahawa pada ketika itu majoriti penduduk Tanah Melayu adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Bagaimana mereka hendak menerima fahaman komunis yang anti agama?

 

“Maka timbul persoalan mengapa mesti Mat Indera yang berbangsa Melayu bertindak sebagai ketua dalam serangan Balai Polis Bukit Kepong. Apa akan terjadi sekiranya serangan tersebut diketuai oleh seseorang yang bukan Melayu?

 

“Tentunya pihak yang merancang agenda untuk meruntuhkan kesatuan Melayu ini telah berfikir tentang hal tersebut. Mereka tidak mahu dikatakan sebagai rasis maka mereka menggunakan propaganda menentang penjajah untuk kemerdekaan, maka tertariklah orang Melayu kita ini untuk turut serta dengan perjuangan Parti Komunis Malaya,” katanya.

 

Apa yang jelas, menghapuskan sesebuah bangsa bermula dengan menghapuskan sejarah bangsa mereka sendiri. Maka, fakta sejarah yang sebenar akan dipusingkan dengan mengangkat pengkhianat sebagai hero kemerdekaan.

 

Kita harus menyedari apa sebenarnya agenda mereka bagi meruntuhkan kesatuan Melayu - mD

Ramai diantara rakyat Malaysia yang telah mengiktiraf Mat Indera, Rasyid Maidin, Abdullah C.D dan ahli PKM lain kononnya sebagai pejuang kemerdekaan. Apakah mereka ini layak menerima pengiktirafan tersebut?

 

Apakah rakyat Malaysia tidak tahu membezakan pengkhianat atau pejuang kemerdekaan sebenar?

 

“Persoalan berkaitan dengan sejarah sesuatu bangsa sebenarnya tidak pernah tuntas. Orang selalu menyatakan sang pemenang akan menulis sejarah. Apakah ini bererti sejarah akan ditulis semula sebaik saja sesuatu pihak itu menang? Kalau ini terjadi, maka lingkuplah sejarah. Sejarah akan dijadikan alat oleh sang pemenang.

 

“Tapi, persoalannya bolehkah sejarah ditulis semula? Rakyat Malaysia harus tahu, sejarah sesuatu peristiwa yang berlaku itu tidak boleh berubah.

 

“Apa yang berubah adalah tafsiran mengenai sejarah berdasarkan bukti baru. Apakah sudah ada penemuan bukti baru dalam konteks penafsiran sejarah tragedi bukit kepong?

 

“Jika ada, apakah bukti tersebut? Setakat ini belum ada sebarang bukti yang dikemukakan mana-mana pihak, makanya sejarah Bukit Kepong yang ditulis semula itu hanyalah sejarah yang diubah sudut pandangannya.

 

“Perkara ini tidak akan dapat mengubah fakta yang sebenar,” katanya.

 

Tambahnya, rakyat Malaysia harus tahu mengapa sejarah itu ditulis sama ada untuk dikenang atau sejarah berperanan sebagai pengajaran. Ibaratnya, sejarah itu berperanan seperti cermin pandang belakang sesebuah kenderaan.

 

Sesekali ketika kita memandu, kita perlu menjeling dan melihat cermin sisi.

 

“Apa yang menjadi kepincangan utama dalam sejarah dunia ialah adanya kelompok tertentu menulis dan menjadikan sejarah untuk tujuan mengesahkan politik sesebuah kelompok.

 

“Kepada golongan muda kini yang tak mengerti metodologi sejarah perlulah memahami bahawa untuk menghasilkan sejarah yang baik dan betul, mestilah  ditulis oleh individu yang memperlajarinya tanpa ada apa-apa tujuan dan kepentingan tertentu,” katanya.

 

Salleh Lamry antara penulis yang telah banyak menghasilkan buku-buku gerakan berhaluan kiri sewaktu Tanah Melayu - mD

 

Salleh Lamry antara penulis yang telah banyak menghasilkan buku-buku gerakan berhaluan kiri sewaktu Tanah Melayu – mDBagi Pensyarah Sarjana Tamu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamed Salleh Lamry yang juga penulis buku-buku gerakan berhaluan kiri Tanah Melayu, tragedi Balai Polis Bukit Kepong bukan atas arahan pemimpin-pemimpin tertinggi PKM.

 

“Ada pemimpin-pemimpin tertinggi PKM menganggap perbuatan membakar balai polis itu sebenarnya satu kesilapan yang dilakukan oleh anggota bawahan parti itu. Saya tidak begitu pasti betulkah Mat Indera yang
mengarahkan serangan itu atau dilakukan ketua-ketua PKM tempatan lain tanpa arahan sesiapa.

 

“Ada maklumat yang menyatakan Mat Indera berkali-kali menyeru anggota polis disitu supaya menyerah diri dan besar kemungkinan beliau tidak mahu membunuh mereka.” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Tambahnya, Mat Indera merupakan salah seorang daripada pejuang kemerdekaan kerana beliau berada dalam satu barisan yang berjuang untuk menentang penjajah.

 

“Memang ketika itu Mat Indera berada di Bukit Kepong bersama pemimpin rendah PKM. Sekali lagi saya katakan, saya tidak begitu pasti adakah beliau ikut serta menembak anggota polis di situ. Hal ini sebenarnya tidak jelas kerana belum ada sesiapa yang membuktikannya.

 

“Tentang konsep ‘pejuang kemerdekaan’, saya lebih suka menggunakan konsep umum. Sesiapa saja yang menentang penjajah adalah pejuang kemerdekaan, tidak  kiralah komunis atau bukan komunis. Saya tahu pendapat ini mungkin tidak disetujui oleh orang-orang yang anti komunis,” katanya.

 

Tragedi Bukit Kepong yang berlaku 65 tahun lalu pasti tidak akan dilupakan rakyat negara ini. Ia meninggalkan kesan yang amat mendalam dan luka berdarah di hati kita semua apabila mengetahui sejarah menyatakan anggota polis ini dibunuh kejam manakala isteri dan anak mereka dibakar hidup-hidup.

 

Tidak kiralah apa tujuan utama Mat Indera dan pasukan komunis ketika itu, persoalan dimanakah nilai kemanusiaan mereka ketika itu dek terdorong dendam terhadap penjajah?

 

Mat Indera bukanlah tersilap langkah. Dia sendiri memilih untuk menjadi petualang bangsa biarpun niat asalnya mahukan kemerdekaan buat tanahair tercinta.

 

Beliau tetap petualang bangsa. – MD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.