Tindakan Berasaskan Peraturan – Jabatan Penjara

Kuala Lumpur – Jabatan Penjara hari ini menjelaskan layanan serta kemudahan bagi semua banduan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sama selaras dengan ketetapan akta, peraturan penjara dan prosedur penjara.

 

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Supri Hashim berkata pelbagai tuduhan dan spekulasi terus dibuat sejak Penasihat PKR itu menjalani hukuman mulai 10 Februari lalu walaupun penjelasan diberi.

 

“Keputusan, tindakan serta langkah yang diambil oleh Jabatan Penjara adalah berasaskan ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara yang diguna pakai untuk menguruskan semua banduan.

 

“Mana-mana kakitangan yang didapati melayan banduan secara berbeza di luar daripada ketetapan akta, peraturan dan prosedur berkenaan akan diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan.

 

Terdapat kira-kira 50,000 banduan menjalani hukuman di seluruh penjara Malaysia.

 

Berhubung perjumpaan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dengan Anwar, Supri menjelaskan Azmin ada membuat permohonan untuk berjumpa Anwar atas urusan kerajaan negeri berkaitan tugas sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

 

Katanya, Jabatan Penjara meneliti permohonan itu menggunakan peruntukan Peraturan-peraturan Penjara 2000 serta prosedur penjara dan atas urusan penting yang berkaitan, ia boleh dibenarkan.

 

Beliau menjelaskan lawatan sebegini yang dinamakan “Perjumpaan Khas” mengikut Peraturan-peraturan Penjara 2000, juga diberi kepada ramai banduan lain bagi urusan penting antaranya berkaitan keluarga, kerja, pembahagian harta, wasiat, serta urusan mendapatkan khidmat peguam.

 

Beliau berkata Perjumpaan Khas itu bukan perjumpaan mengikut sistem peringkat serta tidak menghalang perjumpaan-perjumpaan lain antaranya perjumpaan permulaan, perjumpaan peringkat, perjumpaan dengan polis dan perjumpaan dengan peguam.

 

Supri berkata penempatan Anwar di Hospital Penjara Sungai Buloh adalah hasil pemeriksaan dan syor pakar perubatan.

 

Katanya, penempatan Anwar di fasiliti itu dilaksanakan sebelum perjumpaan dengan Azmin pada 25 Februari lalu.

 

Berhubung pertukaran pegawai penjara yang turut dikaitkan dengan layanan terhadap Anwar, Supri menjelaskan bahawa pertukaran berlaku hampir setiap bulan atas kepentingan perkhidmatan dan turut mempertimbangkan kebajikan pegawai terlibat.

 

Katanya, pengarah sesebuah penjara tidak mempunyai sebarang kuasa berhubung pertukaran tersebut. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.