Timbang Perluas Skop Penggunaan Baucar Buku 1Malaysia – Muhyiddin

SERDANG – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan perwakilan mahasiswa untuk memperluaskan skop penggunaan Baucar Buku 1Malaysia agar tidak dibataskan kepada pembelian buku sahaja, sebaliknya turut merangkumi bahan pembelajaran lain.

 

Dalam reaksinya terhadap cadangan perwakilan mahasiswa pada majlis ramah mesra di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Rabu ini untuk diperhalusi.

 

“Saya akan bawa cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet dan saya fikir Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pendidikan II) boleh bagi sokongan,” katanya.

 

Majlis itu yang disertai 1,500 pemimpin mahasiswa berlangsung di dewan besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM.

 

Yang turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Datuk Mary Yap Kain Ching serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamad.

 

Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Muhamad Anas Misbahudin yang dalam ucapannya pada majlis itu turut mengusulkan supaya kadar atau jumlah wang dalam baucar itu ditambah.

 

Muhyiddin dalam reaksinya terhadap usul tersebut berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan dengan berpandukan kepada kestabilan kewangan kerajaan.

 

“Saya fikir, insya-Allah, pada masa akan datang boleh dinaikkan… berapa kadar kenaikan bergantung kepada kedudukan kewangan negara,” katanya.

 

Pemberian Baucar Buku 1Malaysia mula dilaksanakan pada 2012 dengan kadar RM250 bagi seorang pelajar.

 

Mengenai permohonan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian diskaun pembelian tiket bas kepada mahasiswa, Muhyiddin berkata, beliau akan mengajukan saranan itu kepada Kementerian Pe­ngangkutan dan Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat.

 

Beliau berkata, perkara itu di luar kawalan kementerian dan ia perlu dirundingkan dengan syarikat pengangkutan dan pengendali bas eks­pres bagi memohon mereka memberi diskaun khas untuk mahasiswa.

 

“Saya akan bincang dan bawa perkara ini kepada pihak tertentu untuk pastikan saranan itu diambil kira,” katanya. – Bernama / Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.