Terima Ancaman Kerana Dedah Gerakan Guling Hadi

KUALA LUMPUR – Pengendali laman Facebook Tuc Tok Usin Ceroi mendakwa telah menerima ancaman berikutan keaktifannya mendedahkan komplot dalaman yang mahu menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Tuc Tok Usin Ceroi merupakan akaun Facebook pro ulama PAS yang kini semakin popular selepas mendedahkan rakaman audio yang didakwa sebagai bukti penglibatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam komplot tersebut.

 

Menurut pengendali laman itu pelbagai ancaman yang diterima tidak terhad pada provokasi dan aktiviti menggodam akaun Facebooknya sahaja tetapi turut melibatkan ugutan berbentuk kekerasan.

 

“Masa mula-mula lawan dulu macam-macam cabarannya, akaun FB Tok dah 30 kali kena benam  dengan jebon, dan Tok tahu ia angkara siapa.

 

“Ugutan pon macam-macam dapat masa itu, jebon ugut nak cari dan pukul tu biasa saja masa tu,” dakwanya dalam status Facebook bertarikh 28 Februari lepas.

 

Istilah jebon merupakan singkatan  ‘Jemaah Buat Onar’ yang merujuk kepada sekumpulan pemimpin PAS pro Anwarinas yang dikaitkan dengan gerakan untuk menggulingkan Presiden PAS.

 

Dalam perkembangan berkaitan, pengendali laman itu turut mendakwa terdapat cubaan pihak-pihak tertentu yang berusaha membongkar identiti sebenarnya.

 

“Buat masa sekarang Tok belum terima ancaman seperti itu lagi (ancaman bunuh), tetapi ancaman berbentuk provokasi sahaja dan cubaan untuk mencari identiti Tok yang sebenar.

 

“Ianya akan menamatkan penyiasatan (mereka) jika identiti terbongkar kerana Tok sering berada dalam program mereka untuk mendapatkan maklumat,” jelasnya melalui satu perbualan mesej di Facebook.

 

Walaupun berdepan ancaman dan cabaran sedemikian, pengendali laman itu menegaskan tidak akan mengalah atau berputus asa kerana percaya perjuangannya berada di landasan yang betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.