SPM 2014: Pelajar Jepun Di Langkawi Raih Semua A Termasuk Bahasa Melayu

LANGKAWI – Ketidakupayaan bertutur sepatah perkataan bahasa Melayu pun ketika memasuki negara ini pada 2007, tidak menghalang seorang pelajar Jepun memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

 

Malah, Saaya Harada, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang di sini, adalah calon tunggal sekolah itu yang mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.

 

Seramai 200 calon sekolah itu mendaftar mengambil peperiksaan SPM pada tahun lalu.

 

Anak bongsu dari tiga beradik yang berasal dari Yamaguchi, Jepun itu tiba di Langkawi pada 2007 kerana mengikut bapa dan ibunya yang bekerja di sini.

 

“Masa tiba di Malaysia pada 2007, saya tidak boleh bercakap sepatah pun bahasa Melayu, tetapi sekarang saya boleh bercakap dan lulus cemerlang dalam bahasa itu dalam SPM.

 

“Kejayaan ini amat menggembirakan dan saya bercadang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang perubatan,” katanya ketika ditemui selepas mengambil slip keputusan SPM di sekolah itu, hari ini.

 

Saaya memperoleh A+ dalam Matematik, manakala bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah, Kimia, Matematik Tambahan dan Biologi (A) dan Pendidikan Moral serta Fizik (A-). – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.