SPM 2014: 11,289 Calon Peroleh Keputusan Cemerlang

PUTRAJAYA: Seramai 11,289 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2014.

 

Mereka merupakan 2.62 peratus pelajar yang mendapat gred A+, A dan A-.

 

Sebanyak 9,438 daripada mereka adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala 2,078 lagi calon selain daripada sekolah di bawah kementerian.

 

Keputusan itu sekali gus mencatatkan penurunan berbanding 13,970 calon pada tahun 2013.

 

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, ketika mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2014 di sini hari ini berkata sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran.

 

Beliau berkata penurunan itu antara lain disebabkan sikap calon yang sering meramalkan bentuk soalan pada setiap tahun adalah sama sehingga menyebabkan mereka mengulang kaji mengikut cara lama, lapor Bernama.

 

“Dulu boleh jangka (soalan), tapi mulai tahun lepas kita dah ubah (pengolahan soalan), soalan tetap sama, standard sama, cuma memerlukan cara pemikiran yang berbeza.

 

“Tapi bagi calon yang memberi tumpuan pada pelajaran dan ilmu, mereka tetap akan mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2014 di sini hari ini.

 

Katanya indeks yang diguna untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara ialah Gred Purata Nasional (GPN) yang jika semakin kecil nilainya menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

 

“Indeks GPN tahun lalu adalah 5.08 berbanding 4.93 pada 2013 menurun sebanyak 0.15,” katanya.

 

Khair berkata prestasi mata pelajaran pula diukur menggunakan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan prestasi mata pelajaran yang lebih baik.

 

Katanya berdasarkan GPMP tahun 2014, sebanyak 28 daripada 73 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 43 menurun manakala dua lagi mengekalkan prestasi sama seperti sebelumnya.

 

“Bagi mata pelajaran teras, prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam meningkat sebanyak 0.14 GPMP iaitu 4.28 pada tahun 2014 berbanding 4.42 pada 2013.

 

“Prestasi bagi mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Moral; Sejarah; Matematik dan Sains, menurun.

 

“Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.38 mata GPMP iaitu 4.70 pada tahun 2014 berbanding 4.32 pada 2013,” katanya.

 

Khair berkata bagi mata pelajaran elektif pula, sebanyak 27 daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.

 

Katanya dalam bidang elektif sains, mata pelajaran Sains Tambahan menunjukkan peningkatan prestasi yang tertinggi sebanyak 0.18 mata GPMP iaitu 5.31 pada 2014 berbanding 5.49 pada 2013.

 

Dalam bidang elektif teknikal, mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam; Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Reka Cipta dan Teknologi Komunikasi dan Maklumat menunjukkan peningkatan prestasi, katanya.

 

“Mata pelajaran Reka Cipta mencatat peningkatan yang signifikan sebanyk 0.71 mata GPMP iaitu 3.03 pada 2013,” katanya.

 

Tambah Khair mulai SPM 2014 sejumlah 34 mata pelajaran aliran vokasional tidak lagi ditawarkan kepada calon, sebaliknya mata pelajaran itu kini ditawarkan kepada murid yang mengikuti program di Kolej Vokasional.

 

Mengenai pensijilan SPM, Khair berkata sebanyak 364,742 calon SPM 2014 yang pertama kali menduduki dan mendaftar untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras layak mendapat sijil.

 

Khair berkata daripada jumlah itu sebanyak 334,729 merupakan calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala selebihnya atau 29,995 merupakan calon selain daripada sekolah di bawah kementerian.

 

Dalam pada itu, beliau berkata jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar mengecil sebanyak 0.05 mata GPN iaitu 0.55 pada 2014 berbanding 0.60 pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun beliau berkata pencapaian calon di bandar dalam SPM tahun lalu menurun sebanyak 0.17 mata GPN iaitu 4.85 berbanding 4.68 pada 2013.

 

“Pencapaian calon di luar bandar tahun lalu juga menurun sebanyak 0.12 mata GPN iaitu 5.40 berbanding 5.28 pada tahun 2013.

 

“Ini menunjukkan penurunan pencapaian calon di luar bandar adalah 0.12 mata GPN lebih rendah berbanding 0.17 mata GPN untuk calon di bandar,” katanya.

 

Selain itu, Khair berkata jumlah calon berkeperluan khas untuk SPM tahun lalu meningkat daripada 883 pada 2013 kepada 964 iaitu pertambahan sebanyak 81 orang.

 

Katanya daripada jumlah keseluruhan 964 calon berkeperluan khas itu, tiga yang mempunyai masalah rabun dan dua lagi dengan kecacatan lain, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran diduduki.

 

“Kejayaan mereka menunjukkan bahawa semua calon berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksan SPM,” katanya.

 

Sebanyak 455,839 calon menduduki SPM tahun lalu yang diadakan dari 3 Nov hingga 3 Dis, berkurangan sebanyak 14,556 atau 3.1 peratus.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.