Palanivel Langgar Perlembagaan, Bukan Lagi Presiden MIC – Vell Paari

Kuala Lumpur – Datuk Seri G. Palanivel menyingkirkan dirinya sebagai ahli MIC apabila beliau melanggar perlembagaan parti dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap arahan Pendaftar Persatuan (ROS) supaya mengadakan pemilihan baru parti, kata seorang pemimpin MIC hari ini.

 

Bekas pengarah strategik S. Vell Paari yang juga lawan Palanevel berkata, saman sivil presiden MIC terhadap ROS adalah berlawanan dengan Perkara 19 perlembagaan parti yang melarang sebarang ahli mengambil tindakan mahkamah tanpa kelulusan jawatankuasa kerja pusat (CWC), lapor The Malay Mail.

 

Perkara 19 perlembagaan MIC menyatakan: “Setiap ahli akan diikat oleh keputusan CWC dalam hal berkaitan haknya, obligasi, tugas dan kewajipan sebagai seorang ahli parti.

 

“Jika beliau mengambil tindakan mahkamah dari segi haknya, obligasi, tugas dan kewajipan atau bagi pihak ahli lain atau dari segi menterjemah atau maksud peruntukan perlembagaan ini tanpa merujuk kepada jawatankuasa kerja pusat terlebih dahulu atau melanggar sebarang keputusan atau arahan jawatankuasa kerja pusat, beliau tidak lagi menjadi ahli parti dan tidak berhak menggunakan hak seorang ahli.

 

Vell Paari menjelaskan MIC kini mempunyai sebuah badan CWC sementara, yang bergerak secara biasa.

 

Beliau juga menegaskan, Palanivel sendiri mengakui kewujudan CWC sementara itu.

 

“Saya terperanjat Palanivel meneruskan usaha mengheret ROS ke mahkamah berdasarkan surat mereka (CWC) kepada parti. Ini bermakna beliau melanggar keputusan CWC sementara supaya mematuhi arahan ROS. Ini juga bermakna beliau menentang parti.

 

“Sebagaimana mengikut Perkara 91, Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi ahli MIC,” kata Vell Paari dalam satu kenyataan sebaik selepas Presiden MIC itu mengumumkan rancangannya menyaman ROS.

 

Pemimpin MIC yang disingkir dari jawatannya kerana mengkritik Palanivel itu juga berkata perbuatan presiden parti melanggar perlembagaan MIC juga bermakna keahlian dalam Barisan Nasional (BN) dan jawatannya sebagai seorang menteri juga sudah hilang kelayakan.

 

“Oleh kerana Datuk Seri G. Palanivel kini bukan lagi seorang ahli MIC, beliau boleh dianggap sebagai Ahli Parlimen Bebas.

 

“Merujuk Perkara 91, adalah sewajarnya Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara supaya mengkaji kedudukan Palani sebagai menteri Kabinet BN,” kata Vell Paari.

 

Awal hari ini, akhbar The Star melaporkan Palanivel telah memfailkan permohonan kepada mahkamah mengkaji semula arahan ROS supaya MIC mengadakan pilihan raya bagu di semua peringkat.

 

Menurut laman web akhbar itu, Palanivel adalah seorang daripada empat pemohon yang mahu mahkamah mengkaji arahan ROS kepada MIC supaya mengadakan pilihan raya komprohensif bagi setiap jawatan sedangkan pertikaian wujud hanya di beberapa tahap.

 

Vell Paari berkata, Kabinet mesti menentukan kedudukan jawatan Palanivel di mesyuarat mingguannya pada Rabu memandang beliau bukan lagi ahli MIC atau BN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.