Nota Mangsa Kelar Bantu Polis Tangkap Suspek

GUA MUSANG – Yashmin Fauzi, 26, wanita yang dibunuh kejam dengan lehernya dikelar semalam sempat memberi petunjuk kepada polis dengan cara menulis nota mengenai suspek yang dikenalinya sebelum dia disahkan meninggal dunia.

 

Kandungan nota berkenaan akhirnya berjaya membawa kepada penangkapan suspek iaitu seorang pemuda berusia 22 tahun di sebuah rumah di Kampung Tanah Putih beberapa jam kemudian.

 

Bapa mentuanya, Isahak Deris, 52, berkata, ketika anggota polis datang menemuinya di Hospital Gua Musang, Yashmin sudah tidak berupaya untuk bercakap akibat cedera parah di leher.

 

Bagaimanapun katanya, mang­sa menggagahkan diri menulis sesuatu berkaitan identiti suspek di atas sehelai kertas sebelum menyerahkan nota tersebut kepada anggota polis berkenaan.

 

“Nota itu sekarang berada dalam simpanan polis. Apapun, kami lega suspek berjaya ditangkap,” katanya kepada pemberita kediaman mereka di sini hari ini.

 

Ketika menerima kunjungan pemberita, keluarga Yashmin, terutama anak-anaknya, Ahmad Qhasri, 5, serta Qhasri Adli, 4, dilihat masih dalam keadaan trauma sementara suaminya, Mohd. Azrul Isahak pula tiada di rumah.

 

Ahmad Qhasri, Qhasri Adli dan seorang lagi adik mereka berusia enam bulan yang kini berada dalam jagaan Isahak sering merengek bertanyakan mengenai Yashmin.

 

Isahak dalam pada itu berkata, mereka sekeluarga reda dan sudah mula menerima hakikat kematian Yashmin, namun terkilan kerana suspek tergamak memperlakukan mangsa sebegitu rupa.

 

“Kalau mahukan wang, ambillah, tetapi kenapa sanggup mengambil nyawa orang lain. Perbuatan ini sungguh zalim dan kami mahu suspek yang tidak berperikemanusiaan ini diadili,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.