Nik Nazmi Dipanggil Polis Berhubung Himpunan #KitaLawan Pada 7 Mac

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dipanggil untuk bertemu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penganjuran Himpunan #KitaLawan yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mac depan sempena solidariti menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara, kata Akmal Nasir.

 

Pengarah Strategi Pemuda PKR itu berkata, Nik Nazmi menerima panggilan daripada pihak polis awal hari ini, namun pihaknya meminta untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang esok.

 

“Berkenaan himpunan pada 7 Mac memang PDRM ada menghubungi Nik Nazmi, tetapi kita aturkan pertemuan esok petang,” kata Akmal kepada The Malaysian Insider.

 

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyusun langkah yang harus diambil susulan perkara itu dan menentukan peguam yang akan menemani Nik Nazmi.

 

“Kita baru dimaklumkan, kita sedang susun, esok akan ada peguam atau macam mana, kita masih bincangkan, selepas itu kita akan adakan sidang media di sana,” katanya.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, sekretariat #KitaLawan mengesahkan Nik Nazmi dipanggil polis berhubung perhimpunan itu.

 

“Sekretariat #KitaLawan sekali lagi dipanggil untuk bertemu dengan Tuan ACP Zainol Samah, Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi pada esok petang.

 

“Kami mengambil pendirian terbuka untuk bagi kerjasama sepenuhnya demi keselamatan dan kelancaran perhimpunan,” kata sekretariat berkenaan.

 

“Kami akan memaklumkan kepada pasukan beliau Himpunan #KitaLawan akan tetap diadakan pada 7 Mac 2015 di mana para peserta akan berkumpul di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan ibu pejabat PAS bermula 3 petang sebelum bergerak ke Sogo.”

Himpunan #KitaLawan yang membantah pemenjaraan Anwar yang didapati bersalah atas kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, juga difahamkan akan dilaksanakan di luar negara di beberapa lokasi terpilih.

 

Sekretariat #KitaLawan berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia di luar negara dalam himpunan berkenaan.

 

“Sekretariat #KitaLawan mengalu-alukan keprihatinan rakyat Malaysia yang berada di luar negara terutamanya anak muda yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan perhimpunan di negara masing-masing sebagai solidariti bersama Himpunan #KitaLawan yang akan diadakan pada 7 Mac 2015.

 

“Mereka bersolidariti demi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan Anwar sebagai tahanan politik serta menarik perhatian masyarakat antarabangsa mengenai ketidakadilan, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah di Malaysia,” kata sekretariat tersebut dalam satu kenyataan sebelum ini.

 

Antara lokasi yang bakal dianjurkan himpunan berkenaan pada 7 Mac akan datang termasuklah, Old Palace Yard, London, berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom) bermula jam 11 pagi waktu tempatan, depan bangunan Parlimen Australia, Canberra bermula jam 4 petang waktu tempatan, depan bangunan Parlimen South Australia, Adelaide bermula jam 4 petang waktu tempatan dan Liberty Square (Freedom Square) di Taipei, Taiwan bermula jam 7 malam waktu tempatan.

 

“Himpunan solidariti 7 Mac 2015 juga akan diadakan di bandar New York serta beberapa bandar di Amerika Syarikat, Jepun, New Zealand dan negara Eropah di mana lokasi himpunan akan dimaklumkan kelak,” kata sekretariat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.