Kerajaan Selangor Naikkan Kadar Sewa PPR

Shah Alam – Kerajaan negeri Selangor terpaksa menaikkan kadar sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri untuk mengurangkan defisit.

 

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata kerajaan negeri perlu mengeluarkan subsidi berjuta-juta ringgit untuk mengekalkan kadar sewa bulanan serendah RM124 seperti sebelum ini.

 

“Sekiranya dikekalkan RM124, maka tidak cukup pendapatan untuk mengurus dan menyelenggara PPR tersebut. Contohnya PPR Kota Damansara, jika semua penduduk membayar RM124, akan ada defisit lebih kurang RM70,000 sebulan dan RM1 juta setahun.

 

“Itu sebab ia dinaikkan kerana kerajaan negeri tidak cukup pendapatan. Kena ingat juga bahawa bukan semua kena bayar RM250, mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sahaja yang membayar sewa sebanyak RM124,” katanya selepas memberi keterangan di Jawatankuas Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung ‘Penyelenggaraan dan Pemantauan Perumahan PPR Selangor’ petang tadi.

 

Iskandar diminta mengulas gesaan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kota Damansara, Johari Nander yang mahukan kadar sewa bulanan di perumahan berkenaan diturunkan seperti sebelum ini atas alasan membebankan penduduk.

 

Untuk makluman, kadar sewa di beberapa PPR di Selangor naik sehingga 100 peratus semenjak tahun lepas, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk yang menyifatkan kerajaan negeri tidak mengutamakan prinsip kebajikan rakyat.

 

Malah penduduk di PPR Kota Damansara juga beberapa kali membuat aduan berhubung kenaikan kadar sewaan itu, dengan alasan kadar itu membebankan mereka kerana sumber pendapatan bulanan tidak mencukupi untuk menampung kos sewa dan perbelanjaan lain.

 

“Setakat ini (kerajaan negeri) tiada rancangan untuk mengurangkan atau mengekalkan sewa. Malah kebanyakan rumah yang sama di luar pun kadar minima sewa bulanan juga RM400 hingga RM600. Bermakna kadar RM250 itu sudah cukup rendah,” kata Iskandar lagi.

 

Berdasarkan aduan penduduk PPR, meskipun kadar sewa dinaikkan kepada RM250, kerajaan negeri juga gagal memastikan tahap penyelenggaraan di PPR berkenaan dalam keadaan baik sehingga timbul dua kes kanak-kanak terjatuh sehingga menemui ajal.

 

Sementara itu, Iskandar turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri setakat ini tidak ada perancangan untuk menukar status sewa kepada skim sewa beli, sebagaimana yang turut didesak oleh penduduk PPR seluruh negeri ini.

 

“Polisi sekarang adalah kesemua PPR kekal untuk disewa. Untuk membeli atau skim sewa beli rumah di program perumahan yang lain.

 

“Sebabnya kerajaan negeri merasakan keputusan ini dibuat kerana ada sekelompok masyarakat yang tidak mampu untuk sewa-beli, malah ada juga yang menjadikan rumah ini sebagai transit sebelum terus membeli rumah.

 

“Dan jika kita lakukan pembangunan bercampur contohnya ada sewa-beli atau jual terus, maka kita akan hadapi masalah pentadbiran,” katanya lagi.

 

Sementara itu menyentuh insiden kematian yang membabitkan kanak-kanak di PPR Kota Damansara, Iskandar memberitahu kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk membaikpulih bangunan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.