Jawatan Presiden PAS Dijangka Akan Dicabar

Kuala Lumpur – Seorang pemimpin kanan PAS meramalkan jawatan presiden akan dipertandingkan pada pilihan raya parti akan datang.

 

Beliau menjangka lebih daripada seorang calon akan mencabar Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang jika beliau mempertahankan jawatannya, lapor Star Online.

 

Berdasarkan mood di kalangan ahli peringkat bawah, mungkin beberapa calon akan dikemukakan untuk jawatan utama, kata pemimpin kanan yang enggan namanya disiarkan.

 

“PAS amat demokratik dan kali ini akan berlaku pertandingan sengit kerana wujudnya banyak isu dalam parti,” kata beliau.

 

Beliau mengulas ramalan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, jawatan presiden tidak akan dipertandingkan kerana tidak ada pemimpin berkebolehan untuk mencabar Hadi yang mendapat sokongan kumpulan pro-ulama.

 

“Biarkan jawatan presiden dipertandingkan. Dari segi perlembagaan, semua jawatan eksekutif adalah terbuka kepada pencalonan dan pertandingan. Ini makna demokrasi,” ujarnya.

 

Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih sebagai pemangku presiden berikutan kematian Datuk Fadzil Noor pada 2002.

 

Pemimpin itu yang membariskan dirinya dalam kumpulan ‘sederhana’ dalam PAS berkata, pertandingan adalah satu bentuk penting dalam mengimbangkan dan mematangkan sebarang parti politik.

 

Beliau juga bersetuju dengan cadangan oleh beberapa pemimpin sederhana supaya Hadi dinaikkan taraf kepada mursidul am parti menggantikan tugas pernah digalas oleh Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat

 

“Bagilah beliau (Hadi) kehormatan. Naikkan tarafnya daripada menjatuhkannya,” tambahnya.

 

Beliau berkata, PAS tidak ketandusan pemimpin dan memberi contoh seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahmad Awang, Datuk Husam Musa, Mujahid Yusof Rawa dan Salahuddin Ayub.

 

“Dengan membenarkan pertandingan, perwakilan akan berpeluang untuk mendengar idea baru dan cara lain bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

 

Seorang calon perlukan dua pencalonan daripada bahagian untuk layak bertanding.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.