Geng Sakera Madura Ditahan Dalam Ops 6P

SEREMBAN – Sekumpulan lelaki warga Indonesia dipercayai menganggotai kumpulan haram Sakera Madura, antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Ops Bersepadu 6P di sebuah tapak pembinaan premis perniagaan di Senawang, di sini, semalam.

 

Mereka dipercayai ahli kumpulan haram itu berikutan penemuan senjata sabit dan simbol kumpulan yang tertera pada dinding rumah kongsi di tapak pembinaan itu.

 

Serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) yang bermula jam 10.30 pagi itu turut digemparkan dengan kejadian seorang lelaki warga Bangladesh cedera parah di kepala selepas terjatuh dari pagar tapak pembinaan itu ketika cuba melarikan diri.

 

Lelaki berusia 25 tahun terbabit dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, di sini, untuk menerima rawatan lanjut.

 

Ketua Unit Tindakan JIMNS Azly Ashazly Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan, lelaki terbabit melarikan diri kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

 

Menurutnya, serbuan yang dianggotai 52 pegawai dan anggota JIMNS serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dijalankan hasil maklumat awam.

 

“Dalam serbuan itu, seramai 203 PATI ditahan masing-masing 171 lelaki, 30 wanita dan dua bayi berusia sembilan bulan dan 13 bulan.

 

“Penahanan itu membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, India dan Kemboja yang berusia antara 23 dan 50 tahun, manakala dua bayi terbabit adalah warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

 

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.