Dapat Tiga Tan Ikan Aya Sehari

MARANG – Kerja menangkap ikan aya bagi nelayan kelas B di Marang bertambah rancak apabila ada dalam kalangan mereka mampu mencecah tangkapan melebihi tiga tan setiap hari sejak beberapa hari lalu.

 

Bagi nelayan pantai mereka pula seperti mendapat durian runtuh apabila ada yang berjaya menangkap ikan gelama dada kuning mencecah hampir satu tan pada hari tertentu sepanjang keadaan cuaca panas ketika ini.

 

Seorang nelayan kelas B, Md Awang, 57, dari Kampung Seberang Marang berkata, nelayan tempatan begitu terkejut apabila mereka boleh mendapat ikan aya dalam kuantiti luar biasa pada setiap hari berbanding sebulan lalu.

 

“Sebagai nelayan, mereka sudah pasti seronok apabila mendapat ikan aya hasil kerja memukat lebih 3,000 kilogram sehari,” katanya yang turut memaklumkan keadaan sama turut berlaku di daerah lain.

 

Harga pasaran semasa bagi ikan aya ketika ini adalah RM8 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini manakala harga ikan gelama dada kuning yang juga spesies gelama yang dikatakan paling berkualiti adalah RM20 sekilogram.

 

Seorang peniaga ikan di Pasar Marang, Mohd Hanafi Ibrahim, 32, memberitahu, harga ikan kini jauh lebih murah kerana hasil tangkapan banyak malah bekalan ikan dari luar negeri ini turut membanjiri pasaran tempatan.

 

Menurutnya, tangkapan nelayan di Marang ketika ini meningkat mendadak namun ikan dijual lebih murah.

 

Bagaimanapun golongan nelayan tetap menganggap musim ini rezeki berganda bagi mereka kerana hasil tangkapan lumayan.

 

“Peniaga terpaksa menjual ikan pada harga murah dan saya sendiri hanya mendapat untung sedikit sahaja berbanding sebelum ini.

 

“Ia berlaku sebab hasil tangkapan ikan terlalu banyak, hendak dapat RM1,000 sehari (kasar) pun susah pada musim ini,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.