Dana RM40 Juta Diperluas 
Kepada Petani Dan Pesawah

KUANTAN 2 Mac – Dana RM40 juta yang disediakan kerajaan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk mengambil alih hutang nelayan daripada orang tengah kini diperluaskan kepada petani dan pesawah.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak dana itu dilancarkan Februari tahun lalu, hanya RM5.6 juta digunakan untuk tujuan pinjaman membeli peralatan menangkap ikan.

 

“Daripada jumlah itu juga, hanya RM250,000 dikeluarkan untuk membayar hutang membabitkan 22 orang nelayan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Menteri Bersama Pemimpin Peladang dan Nelayan Zon Timur di sini hari ini.

 

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Zainal Dahlan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

 

Dana 40juta

Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama peladang dan nelayan dalam Program Menteri Bersama Pemimpin Peladang dan Nelayan Zon Timur 2015 di Bukit Gambang Resort (BGR), Kuantan, Pahang semalam. – AHMAD ZAKKI JILAN

 

Menurut beliau, jumlah yang dibelanjakan ini agak sedikit berbanding dana yang dikeluarkan menyebabkan kementerian memutuskan untuk memperluaskan kepada petani dan pesawah.

 

“Justeru, saya minta TEKUN dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) untuk jumpa dan beri penerangan kepada nelayan dengan lebih kerap agar dana ini dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 110,000 nelayan seluruh negara diminta mendaratkan hasil tangkapan masing-masing di 45 jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan 14 jeti PNK bagi melayakkan mereka menerima insentif pendaratan antara 10 hingga 20 sen setiap kilogram.

 

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi usaha ke arah memerangi peranan orang tengah secara total selain memberi keuntungan yang lebih besar kepada para nelayan.

 

“Sebelum ini, mereka boleh mendaratkan ikan di mana-mana jeti dan mendapat insentif tersebut. Dalam masa yang sama, kerap berlaku penyelewengan ketika timbangan dibuat sehingga menindas para nelayan.

 

“Kita nak elak terus peranan orang tengah, biar PNK yang jalankan tugas sepenuhnya dan membeli terus hasil tangkapan nelayan dengan harga yang setanding ikut pasaran. Setakat ini hanya 10 peratus menjual hasil di PNK,” katanya.

 

Menurut Ismail Sabri, peruntukan sebanyak RM126 juta dikeluarkan untuk insentif pendaratan yang layak diberikan kepada kira-kira 51,000 nelayan yang berdaftar dengan PNK.

 

“Ini baru fasa pertama, pada April depan kita akan mula fasa kedua termasuk penambahan bilangan kompleks dan jeti pendaratan serta nelayan yang layak menerima insentif tersebut,” jelasnya.

 

Menurut beliau, semua itu merupakan antara intipati kempen ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ yang dilancarkan awal tahun lalu dan perkara itu masih jauh untuk mencapai sasaran supaya kesemua yang terlibat keluar daripada cengkaman orang tengah. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.