Baca Al-Quran Cetus Kejayaan Muhammad Azri

GEORGETOWN – Berkat doa ibu di samping membaca al-Quran setiap hari membolehkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor (L) mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014.

 

Muhammad Azri Zulkifli, 20, berkata selain memberi tumpuan dalam kelas dan belajar secara berkumpulan, dia sering berdamping dengan guru bagi memahami dengan jelas apa yang dipelajari dalam kelas.

 

“Setiap orang mempunyai impian untuk berjaya, apa yang saya lakukan ialah berusaha dengan mengulang kaji pelajaran secara konsisten bersama rakan-rakan pada waktu malam kerana kami tinggal di asrama.

 

“Selain itu, saya sering mengamalkan minum air bacaan surah Yasin yang dibekalkan ibu dan membaca al-Quran sebagai rutin harian,” katanya yang menetap di Batu Maung, di sini.

 

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berjaya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.83 melalui lima mata pelajaran yang diambil dengan memperoleh Pengajian AM (B+), Sejarah (A), Bahasa Arab (A), Syariah (A) dan Usuluddin (A).

 

Muhammad Azri juga aktif dalam kegiatan sukan dan berpegang kepada prinsip minda yang baik bermula daripada tubuh yang sihat serta bercita-cita untuk menceburi kerjaya dalam pasukan keselamatan.

 

“Saya memang aktif bersukan terutama dalam sukan bola tampar dan pernah mewakili negeri ke peringkat kebangsaan suatu ketika dahulu.

 

“Malah, saya berharap cita-cita untuk menjadi pegawai tentera akan tercapai kerana saya berhasrat untuk berbakti semula kepada negara nanti,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Osman Hussain, berkata seramai 50 daripada 2,444 calon yang menduduki peperiksaan STPM menunjukkan prestasi cemerlang dengan keputusan PNGK 4.00.

 

“STPM 2014 menyaksikan calon daripada 36 sekolah menduduki peperiksaan di 30 pusat di seluruh Pulau Pinang. Daripada itu, 15 sekolah di negeri ini mencapai kelulusan 100 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan berkenaan di sini. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.