Ayah Tak Ajar Pukul UMNO – Nik Abduh

Kuala Lumpur – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjawab kritikan yang dilemparkan kepadanya yang mempersoal beliau kurang menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta melabelkannya sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan (UG).

 

Menurut Nik Abduh, beliau mengenali ayahandanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan dengan memukul UMNO dan BN dan Nik Abdul Aziz juga mendidik rakyat bukan dengan cara sedemikian.

 

Katanya, ayahandanya selalu memberikan peringatan dan nasihat kepadanya supaya apabila berkuliah tidak selalu menyerang UMNO dan bercakap mengenai politik sahaja.

 

“Beri ilmu agama kepada masyarakat hatta masa ceramah politik pun (apatah dalam kuliah ugama) dan jangan dok ikut orang lain. Kita ada ilmu, kita bagi ilmu. Orang tak ada ilmu, dia tak boleh memberi apa yang orang berilmu boleh beri.

 

“Ayahanda juga berkata apabila masyarakat berilmu, senanglah mereka faham mengapa kita lawan UMNO. Sekali cakap pun orang faham selalu. Lawan UMNO ni, bubuh ilmu banyak-banyak, lama-lama lenyaplah UMNO,” katanya dalam entri Facebook di sini.

 

Tambah Ahli Parlimen PAS Pasir Mas itu lagi, mereka yang mengenali Allahyarham sebagai ‘kepala halian’ yang memukul UMNO dan BN habis-habisan hanya mengenali melalui ceramah dan aktiviti politiknya sahaja.

 

Jelasnya, maka daripada sisi itulah yang mereka kenal dengannya yang mana beruntung dengan mendapat ilmu politik daripadanya manakala beliau lebih beruntung kerana mendapat ilmu kehidupan daripadanya.

 

Beliau berkata, tulisan-tulisannya di alam maya ini adalah usahanya bagi menepati nasihat Allahyarham ayahandanya.

 

“Tak perlulah saya berlapik untuk memohon maaf kepada orang-orang UMNO jika tulisan-tulisan saya sebelum ini telah semakin menjauhkan mereka daripada PAS yang saya cintai sebagaimana ayahanda mencintainya. Saya tiada berhasrat demikian selain islah dan pembaikan sedaya upaya saya.

 

“Jadi, mari berilmu dengan banyak membaca, banyak mendengar kuliah dan menghormati para ulama yang menyampaikan ilmu dan ugama. Tiada selain keuntungan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.