Apabila Wartawan Dihalang, Disaman Dan Ditipu

Oleh: Nila Kanna

 

Sepanjang minggu lepas, agak kelakar juga apabila memikirkan nasib wartawan di lokasi yang kebanyakkanya berakhir dengan situasi yang tidak dapat dijangkakan. Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang baru atau pelik, ataupun mendukacitakan.

 

Malah perkara biasa yang dilalui media massa bebas, cuma bibit melodrama diselitkan agar ia memberi kesan kepada yang membacanya.

 

Kadang-kala ada pentingnya para pembaca di luar sana dikhabarkan dengan adegan-adegan dramatik yang dihadapi media sosial ini.

 

 

Situasi paling kerap, kami dihalang

 

Selepas terkejar-kejar sampai ke lokasi untuk membuat liputan, yang disambut hanyalah kekesalan. Bukan sekadar tidak dapat menyertai sidang media, yang namanya sudahpun sedia tertera untuk ‘MEDIA’ bahkan duduk menyertai majlis pun tidak diberi peluang. Sekurang-kurangnya, berilah kami peluang cari sumber atau bahan untuk menulis.

 

Majlis tidak boleh masuk, sidang media tidak boleh buat liputan, temuramah apatah lagi, maka apa peranan kami sebagai media dalam talian yang dilihat semakin efisien dalam menyalurkan berita secara pantas menggunakan medium mudah alih ini?

 

Akhir-akhir ini, portal-portal media ‘tertentu’ dihalang atau tidak dibenarkan membuat sebarang liputan. Apabila ditanya mengapa, jawapannya, “Entahlah, pengurusan atasan tak bagi”. Bukankah kami berhak mendapatkan jawapan yang lebih rasional?

 

Biasanya halangan terhadap media ini sama ada dikaitkan dengan paksi politik portal itu ataupun cebisan berita yang dianggap berkaitan seseorang individu (secara negatif), kementerian atau parti politik berkenaan.

 

Namun, seeloknya sebab itu dikongsi jikalau terdapat kesalahan atau kesilapan, laporan palsu, melapor tanpa etika kewartawanan dikesan.

 

Nanti dulu, jangan main cakap sahaja, buktikan juga yang mana salah, yang mana silap, itu baru adil.

 

Inikan pula tidak, wartawan portal dihalau, diawasi daripada memasuki majlis dan dikawal ketat daripada bergerak ke mana-mana kecuali keluar meninggalkan majlis.

 

Untuk pengetahuan anda, kami wartawan dan kami diajar untuk mendapatkan berita dalam apa jua situasi sekalipun, termasuk dihalau atau dihalang.

 

Memang benar, bukan semua portal yang dihalau bahkan portal berhaluan kanan termasuk blog walaupun sekecil biji benih dengan ‘follower’ yang tak seberapa dialu-alukan. Mungkin mereka lebih suka jika laporan berita diutus mengikut skema yang ditetapkan dan bukan penulisan kritikal bebas seperti di portal kami.

 

 

Situasi kedua : Kena saman

 

Ini juga perkara paling lazim dihadapi media dan menariknya, di Malaysia, media berhaluan kanan antara yang paling kerap menerima saman dan lebih mendukacitakan, lazimnya kalah dalam kes saman. Maka, kaya-rayalah pihak pembangkang atau sesiapa sahaja yang menyaman mereka. Ia seperti satu bisnes, tunggu sahaja masa yang sesuai terhadap laporan akhbar yang menyebut nama anda dan berbunyi fitnah atau hasut atau kelentong atau merapu, terus fail saman. Dapatkan peguam yang ‘confirm’ menang, dan ya, ‘jackpot’ menanti anda.

 

Antara kes saman yang menjadi johan di Malaysia membabitkan media ialah seperti kes saman Anwar Ibrahim terhadap akhbar Utusan Malaysia membabitkan nilai sebanyak RM50 juta, Lim Guan Eng pada akhbar yang sama membabitkan saman bernilai RM200,000, saman bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga ke atas Utusan Malaysia dan banyak lagi.

 

 

Situasi ketiga: Kena tipu

 

Satu lagi situasi paling kelakar minggu lepas apabila kira-kira 50 pengamal media diperdaya dengan jemputan palsu menghadiri sidang media oleh Datuk Mahfuz Omar berkenaan perancangannya ke Australia untuk bertemu tertuduh Sirul yang diputuskan mahkamah sebagai bersalah membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

 

Wartawan dilihat bersiap-sedia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rombangan Mahfuz berjumpa Sirul di Australia, tetapi sebaik sampai di ibu pejabat PAS, mereka dilaporkan tiada sidang akhbar seumpama itu dijadual, malah Mahfuz sendiri dikatakan berada di Alor Setar ketika itu.

 

Apa lagi, wartawan pun terus menghubungi pengarang tugasan yang mengagihkan tugasan pagi itu untuk menyatakan hal sebenar. Rasanya, bab kena tipu jarang berlaku dan siapa yang sebarkan berita palsu itu, masih tidak terjawab.

 

Apabila wartawan yang berkongsi jemputan di rangkaian sosial Whatsapp dihubungi, dia pun terkebil-kebil seolah-olah tidak mahu dipersalahkan.

 

Minta-minta menjelang minggu dan bulan yang baharu ini, kurang sikit situasi yang menjengkelkan seperti di atas dan para wartawan dilayan secara saksama dan adil agar dapat menyampaikan sumber berita yang benar-benar ‘ummph’ untuk tatapan pembaca.

 

Artikel dipetik dari FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.